Doktor nasihat Fasha Sandha bedah mata

Doktor nasihat Fasha Sandha bedah mata

UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DISIPLIN dan komitmen tinggi dramatis ini terhadap kerjaya lakonan tidak boleh disangkal. Setiap lakonan yang dipersembahkan di kaca televsiyen pasti berbekas di hati penonton dan meninggalkan impak tersendiri.  

Sepanjang 20 tahun penglibatan dirinya sebagai anak seni, pelakon, Fasha Sandha, 39, berkata, belum pernah mana-mana penggambaran yang dijayakan terpaksa ditangguhkan kerana dirinya. 

Bagaimanapun, insiden kecederaan di set penggambaran drama Anak Tuan sehingga menyebabkan kecederaan mata kirinya, awal bulan ini, adalah takdir yang tidak boleh dielak. 

Isteri kepada pelakon, Aidil Aziz ini tetap bersykur kerana kecederaan yang dialami tidak menjejaskan penglihatan sepenuhnya sebaliknya hanya menganggap ia sebagai dugaan kecil. 

“Masa mula-mula berlaku, memang saya risau sebab fikir bagaimana nak teruskan penggambaran. Insiden itu menyebabkan penggambaran tertangguh dalam 10 hari. 

“Sebab tak pernah lagi penggambaran tertangguh atau orang lain terpaksa menunggu disebabkan saya sepanjang 20 tahun dalam industri. Namun, benda pun sudah berlaku dan pasti ada hikmahnya,” katanya. 

Sekalipun masih berjuang melawan kesakitan akibat darah beku yang masih terkumpul di bahagian mata, aktres ini tetap komited meneruskan penggambaran drama yang bakal disiarkan di TV3 pada bulan Syawal nanti. 

“Pihak produksi juga cuba minta tangguh siaran pada pihak stesen. Saya tak sampai hati sebab nanti akan menyekat rezeki kru penggambaran lain.  

“Saya fikir tak mengapa cuba tahan sakit asalkan kru-kru lain dapat bayaran mereka. Sebabnya, saya selalu berpegang kalau kita mudahkan rezeki orang lain, nanti rezeki kita juga akan dipermudahkan,” katanya. 

TETAP FIKIRKAN ORANG LAIN

Ibu tiga anak ini berkata, insiden kepalanya terhantuk di bucu katil membuka mata banyak pihak dan memberi kesedaran supaya lebih berhati-hati di set penggambaran. 

Katanya, kru penggambaran juga menjadi lebih cakna untuk memastikan lokasi penggambaran selamat dan mengelakkan sebarang insiden tidak diiingini. 

“Selama 20 tahun bekerja, saya tak pernah ambil kisah pun ada benda tajam di set, sebab selalu serahkan pada orang lain yang akan memeriksa perkara itu. 

“Apapun, saya anggap ini adalah dugaan kecil sebab saya sendiri akan pastikan aspek keselamatan di set pada masa akan datang,” katanya.

Disoal fobia hadir ke lokasi penggambaran semula, kata Fasha, dia berusaha melawan perasaan takut tersebut supaya tidak menjejaskan baki penggambaran drama itu. 

“Alhamdulillah, kru lebih berhati-hati di set dan mereka juga ada tanya untuk kurangkan adegan yang sedikit agresif. 

“Tapi saya tak nak sebab nanti kurang penjiwaan dan penghayatan. Ada juga babak jatuh yang dibuat di kawasan luar pula. Adegan yang mencetuskan insiden itu tetap diguna pakai nanti.  

“Drama ini tentang seorang isteri yang mempunyai suami penagih dadah dan diseksa ibu mentua. Ia adalah kisah sedih dan pengarah cakap selalunya cerita yang ditimpa dugaan seperti ini akan meletup,” katanya.  

DOKTOR NASIHAT BEDAH MATA

Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 ini dinasihatkan oleh doktor menjalani pembedahan bagi membuang darah beku yang masih terkumpul di bahagian mata kirinya.

Sebelum operasi itu dapat dijalankan, Fasha berkata, dia perlu menjalani ujian CT scan 3D terlebih dahulu bagi memantau ketulan darah beku sama ada sudah semakin baik atau sebaliknya. 

“Daripada situ, doktor akan beritahu tarikh sesuai untuk jalani pembedahan. Saya ada juga tanya doktor sama ada boleh berlaku keajaiban dan darah beku itu akan hilang. Tetapi doktor cakap peluang seperti itu tiada lagi setakat ini. 

“Bahagian tulang yang patah itu pula boleh sembuh secara semula jadi yang akan ambil masa dalam tiga ke empat bulan,” katanya. 

Walaupun fizikal luarannya kelihatan baik, kata Fasha, dia masih menahan sakit di bahagian dalam dan perlu menoleh untuk melihat dengan jelas ke kiri dan kanan. 

Pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu berkata, dia juga mudah mendapat sakit kepala sekiranya bahagian matanya berasa sakit. 

“Saya tetap rasa seronok ketika bekerja, sentiasa positif dan tidak rasa tertekan serta tidak mahu menyalahkan sesiapa. 

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Saya pun tidak mengehadkan pergerakan sebab saya memang seorang yang aktif sejak dulu,” katanya. 

DUTA ALFARO

Selepas 16 tahun berada dalam pasaran, jenama pakaian Alfaro buat julung kali melantik Fasha sebagai duta koleksi pakaian jenama tersebut selama dua tahun.

Pemilihan aktres itu kerana diyakini dapat memberi pengaruh besar kepada masyarakat sekali gus memperkenalkan jenama Alfaro dengan lebih meluas.

Disoal menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan jenama itu, Fasha berkata, dia mahu orang ramai dapat memakai baju raya berkualiti dengan harga sangat berbaloi.

“Saya lihat pemilik jenama ini bersungguh-sungguh memastikan produk keluarannya berkualiti tinggi buat pembeli.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sehingga memberi kesan kepada kita semua, saya mahu orang ramai dapat membuat pilihan baju seperti Abaya Dubai, kurta, baju melayu dan baju kurung serendah RM59 hingga 199,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya