Denggi rekod peningkatan 689 kes di Kedah

Denggi rekod peningkatan 689 kes di Kedah

AKTIVITI kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes merupakan antara tindakan bagi mencegah kes demam denggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah merekodkan peningkatan ketara kes denggi di negeri ini setakat 18 Mac lalu, apabila sebanyak 867 kes dikesan berbanding 178 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan sehingga 387.1 peratus, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Wabak denggi yang dilaporkan sehingga 18 Mac pula adalah sebanyak 82 kejadian, berbanding 18 wabak pada tempoh yang sama tahun lalu. Daripada 82 wabak yang dilaporkan itu, 57 daripadanya telah tamat, 24 masih aktif dan satu dikategorikan kawasan panas,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dr. Mohd. Hayati berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 18 Mac juga, sebanyak 74,257 premis telah diperiksa dan 1,812 kompaun dikeluarkan kerana terdapat pembiakan nyamuk aedes di kawasan mereka.

“Nilai kompaun adalah RM885,917 yang telah dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 kepada pemilik premis terlibat,” tegasnya.

Katanya, pembabitan masyarakat dalam usaha kawalan wabak dan kes adalah mustahak ekoran peningkatan jangkitan denggi di negeri ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri Kedah telah diadakan, semalam bagi meningkatkan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha kawalan dan pencegahan denggi.

“Masyarakat perlu bersama memikul tanggungjawab melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing,” katanya.

Kata beliau, masyarakat juga diharapkan dapat memberi kerjasama kepada petugas kesihatan bagi menjalankan semburan ruang termal dalam premis kediaman masing-masing.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya