Jangkitan denggi di Klang turun sejak Mei

Jangkitan denggi di Klang turun sejak Mei

Denggi Klang
MOHD. ZARY AFFENDY MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kadar jangkitan denggi di daerah ini berterusan menunjukkan penurunan bagi tempoh lima hingga enam minggu terakhir termasuk pada minggu epidemiologi (ME) ke-39/2025, hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd. Zary Affendy Mohd. Arif berkata, bagaimanapun penurunan tersebut meletakkan daerah itu pada kedudukan keempat bagi bandar-bandar besar di seluruh negara selepas Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

Namun, tren berkenaan turut mempengaruhi jumlah kawasan hotspot jangkitan apabila dua tempat dikesan dengan kadar 10 wabak berbanding sehingga 40 wabak sebelum ini.

“Penyumbang terbesar adalah dalam kalangan warga tempatan, sebab kita memang lokaliti terbesar di sini adalah taman (taman-taman perumahan). Malah, punca pembiakan nyamuk aedes bukan daripada sampah sahaja.

”Tetapi terdapat barang-barang lama yang dianggap mempunyai nilai sentimental oleh sesetengah penduduk dan berasa sayang untuk dibuang menyebabkan menjadi tempat takungan air serta pembiakan nyamuk aedes. Jadi, itu cabaran untuk kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Kesihatan Persekitaran Klang 2025, hari ini.

Sehingga Mei lalu, kadar jangkitan Denggi di Klang dilapor menunjukkan penurunan berbanding minggu-minggu sebelumnya, dengan 11,970 kes kumulatif di seluruh Selangor sehingga ME 23/2025. Pada April, terdapat 48 wabak denggi dilaporkan di Klang.

Selain itu, Mohd. Zary Affendy memaklumkan pihaknya sedang giat melaksanakan aktiviti pembersihan awam di seluruh daerah termasuk mengambil tindakan terhadap individu yang dikesan membuang sampah merata-rata.

“Kita buat program dan projek pembersihan awam, mendidik masyarakat mengasingkan sampah untuk kitar semula serta memberi galakan termasuk insentif, kalau mereka barang yang hendak dibuang boleh tukar dengan barang tertentu supaya memulakan amalan kitar semula.

“Kamera litar tertutup CCTV juga ditempatkan di kawasan-kawasan yang menerima aduan tertinggi bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah secara haram, ia tindakan untuk jangka panjang,” ujarnya.

Tambahnya, jika dikesan membuang sampah merata-rata, individu tersebut boleh didenda antara RM400 hingga RM500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN