CUEPACS tolak jawatan tetap dengan caruman KWSP

CUEPACS tolak jawatan tetap dengan caruman KWSP

CUEPACS
ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak sebarang pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, CUEPACS mengalu-alukan usaha atau inisiatif yang dilakukan Kementerian Kesihatan untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap. 

Beliau berkata, langkah itu adalah wajar memandangkan sektor kesihatan negara yang kekurangan sumber manusia bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

Sehubungan itu, katanya, CUEPACS menggesa kerajaan untuk tidak meminda Akta Pencen 1980 dengan sewenang-wenangnya bagi menyerap mana-mana kakitangan ke jawatan tetap tidak berpencen. 

“Sudah tentu langkah menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap dengan caruman KWSP ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Pencen 1980.

“CUEPACS bimbang pindaan Akta Pencen 1980 memberi kesan kepada semua penjawat awam di masa akan datang apabila mereka tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen ataupun caruman KWSP. 

“Sedangkan perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada memilih skim pencen atau KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Kementerian Kesihatan sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini.

Susulan itu, beberapa pihak mencadangkan jawatan tetap tidak berpencen itu boleh dilaksanakan hanya jika ia digantikan dengan caruman KWSP. 

Menurut Adnan, sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam ketika ini. 

Justeru, beliau berharap Kementerian Kesihatan dan JPA turut melibatkan CUEPACS dalam perbincangan bagi menyelesaikan permasalahan doktor kontrak ketika ini.

Dalam masa sama, CUEPACS berpandangan, kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pegawai perubatan sahaja dalam soal kakitangan berstatus kontrak dalam Kementerian Kesihatan. 

“Terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam kementerian dan kementerian lain yang juga berstatus kontrak serta menunggu masa untuk penamatan khidmat.

“Di Kementerian Kesihatan sendiri, selain pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan. 

“Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan. Tetapi, sejak sekian lama CUEPACS berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya