CPTPP tidak beri kesan negatif pada sektor pertanian 

CPTPP tidak beri kesan negatif pada sektor pertanian  

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi impak negatif terhadap sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, CPTPP yang diratifikasi Malaysia pada 30 September tahun lalu sebaliknya menjamin hak dan kepentingan petani tempatan.

Katanya, ia adalah satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.

“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam, adalah tidak benar.

“Selain itu, perjanjian CPTPP tidak menjejaskan program bantuan kerajaan termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Che Alias Hamid (PN-Kemaman) meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.

Jelas Chin Tong, menerusi perjanjian itu, kerajaan  berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk makanan supaya mencukupi untuk kegunaan rakyat.

Malah katanya, CPTPP tidak mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian secara mendadak.

“Bagi 2020, purata duti import bagi barangan pertanian ialah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi 2021. Pada masa sama, Malaysia diberi tempoh pelaksanaan lebih panjang, iaitu 16 tahun lagi bagi tujuan pengurangan dan penghapusan duti import, termasuk bagi barangan pertanian.

“Tambahan, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain bawah CPTPP serta masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), Chin Tong memaklumkan, setakat ini tiada sebarang perancangan untuk meratifikasi FTA baharu dengan mana-mana negara.  

“Buat masa ini, belum ada apa-apa keputusan untuk meneruskan perbincangan FTA baharu walaupun ada yang berminat menandatanganinya dengan Malaysia.

“Dari segi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP, kenapa kerajaan terdahulu dan sekarang meneruskan pembabitan Malaysia dalam dua sistem ini, ia adalah kerana sistem perdagangan dunia sudah berubah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN