SHAH ALAM: Polis akan memanggil isteri kepada Albert Tei, bagi mengambil keterangan lanjut berhubung dakwaan ahli perniagaan itu diacu pistol ketika kediamannya diserbu penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis juga sudah pun memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mereka, namun masih menjalankan siasatan secara terperinci termasuk menyemak rakaman perbualan telefon yang dianalisis oleh pasukan forensik.
Menurutnya, bagaimanapun, tiada keterangan dan bukti mengesahkan dakwaan ahli perniagaan itu diacukan senjata ketika serbuan tersebut.
“Jumlah CCTV yang diterima tidak boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan, namun rakaman berkenaan memang wujud.
“Ramai saksi dipanggil, namun saya tidak boleh mendedahkan jumlahnya dengan pihak-pihak terlibat juga memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
“Ahli keluarga pengadu (termasuk isteri Albert Tei) sahaja belum dipanggil kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian itu. Namun mereka menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen apabila dipanggil kelak,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
November lalu, isteri Albert Tei dilapor mendakwa suaminya itu diacukan pistol ketika ditahan dalam serbuan oleh SPRM dekat kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan tindakan pegawai operasi mengacukan pistol ke kepala Albert Tei ketika menjalankan tangkapan.
Menurutnya, pegawai SPRM dilengkapi dengan alat rakaman termasuk kamera badan dan semua tindakan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.
Shazeli kemudian menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita palsu berhubung kes tersebut.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan secara terperinci di bawah Kertas Enkuiri Polis bagi memastikan dakwaan tersebut disiasat secara telus dan profesional.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat serta arahan selanjutnya. Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menyatakan sama ada siasatan akan ditukarkan kepada seksyen jenayah lain.
“Masih banyak aspek dan keterangan yang perlu diambil serta diperhalusi,” tegasnya. – UTUSAN










