Krisis Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN ditangguhkan

Krisis Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung ketegangan Thailand-Kemboja yang dijadualkan berlangsung esok, ditangguhkan sehingga semua yang dirangka dalam keadaan teratur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sedang mengkoordinasi dan memantau perkembangan terkini ketegangan kedua-dua negara berjiran tersebut.

Katanya, sehingga saat ini, Malaysia masih merayu kepada kedua-dua pihak bertelagah untuk menghentikan ketegangan supaya kestabilan dapat dikembalikan ke rantau ini.

“Jadi kami menangguhkan sementara (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN) untuk memastikan semuanya teratur.

“Namun, kami masih merayu kepada semua pihak supaya menghentikan pertempuran kerana situasinya sangat kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Melancarkan Buku “The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam ketengangan yang semakin memuncak ini, beliau sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul dan Hun Manet setiap hari.

“Saya berhubung dengan mereka secara maya hampir setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat, untuk menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Katanya, selaku Pengerusi ASEAN, mesyuarat itu juga bagi mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia masih berunding dengan Thailand dan Kemboja supaya suhu ketegangan dapat diturunkan susulan tindakan terbaharu tentera Thailand yang dilaporkan melaksanakan sekatan di Teluk Thailand.

Difahamkan, sekatan itu dilaksanakan bagi menyekat dan memastikan Kemboja tidak mendapat sebarang bekalan logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN