Bukan semua artis ada bodyguard - Utusan Malaysia

Bukan semua artis ada bodyguard

PETALING JAYA 22 OKTOBER 2022 - Sesi fotografi pelakon, Edika Yusof untuk Pancaindera di Quattro West di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: FAIZAL UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN serangan yang berlaku terhadap pelakon Kamal Adli, 36, ketika pelakon tersebut menghadiri sebuah acara di Singapura baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak. 

Paling terkesan adalah golongan artis dan selebriti yang mana persekitaran kerja mereka banyak melibatkan orang awam yang tidak mereka kenali.

Pernah berdepan kejadian hampir serupa, pelakon kacak, Edika Yusof, 55, tampil menasihatkan golongan artis dan selebriti agar tidak mengambil ringan soal keselamatan ketika berada di kawasan terbuka.

Kata Edika, pengalaman bergelar anak seni lebih empat dekad cukup mematangkan dan membuatkan dia sentiasa berjaga-jaga serta berwaspada dengan ancaman yang tidak disangka-sangka.

“Apa yang berlaku kepada Kamal, pernah menimpa saya dahulu, sekitar  fasa awal penglibatan sebagai pelakon. Cuma mungkin waktu itu tiada media sosial jadi ia tidak tularl dan tidak diperkatakan.

“Saya pernah diserang seorang bonzer kelab malam yang menyimpan dendam dan cemburu kerana teman wanitanya meminati saya. Disebabkan tidak puas hati, saya dipukul sehingga cedera. Saya tidak sangka, kerana cemburu yang keterlaluan, dia sanggup ekori saya.

“Sebagai orang yang dikenali, kita berpotensi untuk menjadi mangsa serangan seperti ini kerana kita tak tahu siapa yang berdendam dan menyimpan amarah terhadap kita.  Justeru dalam apa juga keadaan, kita perlu berhati-hati,” katanya.

Kata Edika lagi, golongan artis tidak seharusnya memandang enteng soal keselamatan lebih-lebih lagi ketika berada di tempat tumpuan awam. Katanya perkara lebih buruk,  yang membabitkan kehilangan nyawa boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Elakkan keluar berseorangan, sebaiknya berdua atau lebih kerana jika berlaku perkara tidak diingini, ada orang sekeliling yang dapat membantu.

“Keselamatan perlu diutamakan. Apa yang berlaku kepada Kamal tidak dapat dihidu sesiapa. Kita tak tahu apa yang terpendam dalam hati manusia lain, dia marah, benci atau berdendam dengan kita, tiada dalam pengetahuan kita,” kongsinya lagi.

Artis juga manusia biasa

Sebagai penggiat seni, Edika kesal dengan apa yang menimpa Kamal dan baginya, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dalam sebuah acara yang diawasi sistem keselamatan yang ketat.

“Saya simpati dengan Kamal. Serangan yang berlaku terhadapnya adalah perkara serius yang boleh mengancam nyawa.

“Peminat kena tahu pelakon juga manusia biasa. Apa yang mereka lihat menerusi drama atau filem hanyalah lakonan semata-mata.

“Jika timbul  marah, dendam atau tidak puas hati terhadap pelakon kerana watak mereka bawakan, tolong kawal perasaan. Jangan lepaskan dengan mencederakan pelakon tersebut,” katanya.

Bukan semua mampu lantik bodyguard

Apabila disoal tentang keperluan seseorang artis menggunakan khidmat pengawal peribadi, menurut Edika, langkah tersebut boleh dipertimbangkan bagi yang berkemampuan.

“Masyarakat perlu tahu bahawa bukan semua artis kaya dan hidup senang. Ada juga yang terpaksa hidup kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk menyara kehidupan.

“Apatah lagi bila bercakap soal keselamatan, bukan semua mampu menggunakan khidmat pengawal peribadi tetapi ramai yang terpaksa turun padang, sertai ekspo-ekspo perniagaan untuk menjadi wang tambahan.

“Dalam keadaan apa sekalipun, disebabkan artis mudah jadi sasaran kemarahan orang, berjaga-jagalah sentiasa. Individu yang berbahaya ini ada di mana-mana,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya