REMBAU: Seorang bekas pemain bola sepak skuad Piala Presiden Negeri Sembilan lebih 23 tahun lalu kini hanya bergantung kepada kerja-kerja kampung dengan pendapatan yang tidak seberapa bagi menyara keluarganya.
Mohd. Hirwan Kasbi, 43, berkata, selepas berhenti bermain bola sepak pada usia awal 20-an ekoran kecederaan ligamen di kaki kiri yang dialaminya, dia telah melakukan pelbagai pekerjaan di ibu negara sebelum pulang ke kampung selepas mendapat pekerjaan sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah.
Bagaimanapun, selepas 10 tahun, dia telah dibuang kerja ekoran kesalahan tatatertib yang dilakukannya.
“Disebabkan kekhilafan yang datangnya dari diri saya sendiri, saya telah dibuang kerja. Saya fikir hanya dikenakan tindakan seperti ditahan kenaikan gaji atau diturunkan gred namun berlaku lebih buruk lagi.
“Saya hilang pendapatan sekitar penghujung tahun 2019 dan memang tertekan disebabkan keadaan ekonomi ketika itu. Wang simpanan juga habis digunakan memandangkan tiga anak saya masih kecil iaitu berusia tiga hingga 11 tahun dan dua daripadanya masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Pilin, di sini, semalam.
Mohd. Hirwan berkata, isterinya, Asmahziyah Abdul Kadir Jalani, 37, tidak bekerja kerana perlu menjaga ibu bapa mentuanya dan dia pula mengambil upah kerja-kerja kampung serta membantu perniagaan kecil-kecilan ibu saudaranya.
“Buat masa ini Alhamdulilah ada bapa dan ibu mentua yang sangat memahami dan kami juga tinggal bersama mereka. Pihak Baitulmal juga ada menghulurkan bantuan persekolahan tahunan buat anak saya.
“Memang saya mahu mempunyai kerja tetap cuma saya hanya mampu membuat kerja pentadbiran, kecederaan dialami di bahagian lutut dan tangan kanan juga sudah dimasukkan besi akibat kemalangan. motosikal dalam jarak jauh,” katanya.- utusan










