PETALING JAYA: Perdana Menteri menegaskan kerajaan menyalurkan semua bantuan terus kepada golongan yang memerlukan termasuk mangsa banjir meskipun tidak disalurkan melalui ahli Parlimen.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil contoh peruntukan RM50 juta untuk keperluan banjir di Johor, beliau berkata disalurkan kepada mangsa banjir dan bukannya kepada negeri yang terkesan akibat bencana itu.
“Macam di Johor, RM50 juta diberi kepada yang memerlukan. Peruntukan Parlimen walaupun belum sampai pada Ahli Parlimen, ia (bantuan) sampai ke bawah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraf hari ini.
Anwar mengulas cadangan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kerajaan memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.
Muhyiddin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 50,499 mangsa banjir direkodkan di Johor, Pahang, dan Melaka, dengan sejumlah 311 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mereka.
Johor masih mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi membabitkan seramai 46,916 orang daripada 13,511 keluarga yang berlindung di 284 PPS.-UTUSAN
HABIS










