BATU PAHAT: Tidak seperti rakan sebaya lain, murid yang terjejas persiapan persekolahan mereka akibat banjir hanya memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam khemah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana di beberapa buah sekolah di sini agak suram berikutan ramai yang tidak dapat hadir ke sekolah berikutan banjir yang belum surut.
Ada dalam kalangan mereka yang hadir ke sekolah hanya memakai selipar dan baju T serta seluar sukan berikutan semua peralatan sekolah rosak akibat banjir.
Seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pandan, Siti Nur Aina Qaisara SH Hairul Anuar, 12, mengakui sedih kerana hanya mampu belajar di dalam khemah secara PdPR.
“Sedih kerana tidak dapat belajar dalam kelas bersama kawan-kawan sebab banjir. Saya terpaksa belajar secara PdPR dalam khemah sebab rumah belum bersih dan air banjir masih bertakung,” katanya semalam.
Dia berkata, semua tugasan telah diberi oleh guru untuk dijawab sebagai memenuhi masa belajar.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Saiful Nizam Abd. Manan 37, bersama isterinya, Faridah Asrom, 36, dan dua anak mereka, Nur Erynna Qaleesya, 9, serta Muhammad Fayyadh Qazriel ,7, ke SK Sri Pandan untuk mengambil kertas kerja sesi PdPR daripada guru bagi subjek Bahasa Melayu untuk belajar di rumah.
“Sambil saya dan isteri bersihkan rumah, dapatlah anak-anak saya belajar PdPR. Walaupun tidak perlu ke sekolah, guru-guru telah menyiapkan kertas lembaran kerja sesi PdPR untuk belajar dari rumah,” katanya.
Dia yang tinggal Kampung Parit Karjo berkata, meskipun masih terdapat banjir termenung di jalan hadapan rumahnya, air mulai surut dan dapat dia bersama isteri membersihkan rumah mereka serta membuang peralatan yang rosak. – UTUSAN










