Balai bomba dibina di Pulau Redang, Perhentian - Utusan Malaysia

Balai bomba dibina di Pulau Redang, Perhentian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam usaha membina balai bomba di Pulau Redang dan Pulau Perhentian dekat ini bagi mengawal risiko kebakaran di lokasi peranginan itu.

Menurut Pengarah JBPM Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar, pihaknya telah mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan sebuah balai bomba gred D dengan anggaran kos sehingga RM5 juta.

Beliau berkata, kepadatan penduduk di dua pulau berkenaan menyebabkan wujud risiko kebakaran yang ketika ini bergantung kepada pasukan bomba sukarelawan (PBS) jika berlaku bencana.

“JBPM negeri juga sudah menghantar permohonan kepada Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Besut kerana kami memandang serius isu kebakaran di lokasi terpencil seperti pulau.

“Saya difahamkan permohonan itu sudah berada dalam pengetahuan pihak berwajib untuk proses penilaian sebelum diluluskan tidak lama lagi dan kita juga sudah ada tapak yang sesuai.

“Buat masa ini, penduduk dibantu PBS dan JBPM negeri memang merancang untuk menaik taraf kemudahan dengan pembinaan balai bomba bersifat kekal,” katanya.

Hassan ‘As’ari ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Tahunan dan Majlis Perbarisan Kehormat Pengarah JBPM Terengganu di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 14 anggota Pasukan Gerak Cepat (Red Team) bersedia untuk dikerah jika diperlukan bagi menyelamat mangsa banjir di negeri Johor.

Menurutnya, JBPM Terengganu sentiasa memantau situasi semasa banjir di beberapa negeri  dan menunggu arahan daripada ibu pejabat di Putrajaya untuk sebarang tindakan lanjut.

“Sekiranya keadaan memerlukan, kami akan mengaktifkan Pasukan Gerak Cepat termasuk unit elit penyelamat di air (PPDA) serta aset iaitu lori dan bot,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya