Asyraf Wajdi mahu jadikan pinjaman Mara lebih tepati syariah

Asyraf Wajdi mahu jadikan pinjaman Mara lebih tepati syariah

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mahu membantu agensi itu beralih kepada kaedah pinjaman yang lebih menepati kehendak syariah dalam tempoh masa terdekat. 

Menurut Asyraf Wajdi, aspek keberkatan perlu diberi penekanan terutamanya kepada sektor pembangunan usahawan yang amat penting dalam penciptaan kekayaan bangsa. 

Katanya, ini kerana sektor itu bertanggungjawab membangunkan usahawan-usahawan Bumiputera selama ini melalui pendekatan holistik termasuk pembiayaan, latihan dan pembangunan infrastruktur perniagaan. 

“Antara punca keberkatan termasuklah kaedah pembiayaan mestilah bebas daripada syubhah riba. Ketika ini kaedah pembiayaan  masih lagi menggunakan prinsip Bai’ Al-‘Inah yang agak kontroversi dan sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam. 

“Situasi ini mengingatkan saya ketika membantu menstrukturkan kembali kaedah pinjaman atau pembiayaan dalam industri kewangan Islam daripada prinsip Bay al-inah kepada Tawarruq, Murabahah, Qard al-Hasan dan kontrak-kontrak lain. 

“Insya Allah dalam tempoh terdekat ini, saya sedia membantu Mara untuk beralih kepada pembiayaan yang lebih efisien, tidak melibatkan kos yang tinggi dan yang utama menepati kehendak Syariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, petang ini. 

Terdahulu, Asyraf memaklumkan beliau melapor diri di agensi itu pada pukul 9 pagi tadi dengan disambut Ketua Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Mara. 

“Alhamdulillah, hari yang produktif dan mengujakan. Esok siri taklimat-taklimat sektor dan lain-lain bahagian Mara diteruskan. 

“Semoga Mara terus kekal menjadi sebuah agensi amanah yang membina sebuah eko-sistem pembangunan sosio-ekonomi yang memberi kesan amat besar kepada rakyat,” ujarnya. 

Semalam, media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan melantik Asyraf Wajdi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menggalas jawatan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN