PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ingin membantu memperkasa institusi tersebut bagi mencapai matlamat melahirkan golongan bumiputera-Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Asyraf Wajdi berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya bagi merealisasikan agenda tersebut.
“Insya-Allah dengan sedikit pengalaman saya dalam dunia akademik, dunia korporat perbankan dan kewangan, serta politik. Dapatlah saya membantu memperkasa lagi Mara yang merupakan institusi penting yang memfokuskan agenda pembangunan modal insan, pendidikan keusahawanan dan agenda memberdaya ekonomi serta pelaburan bumiputera-Melayu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan melantik Asyraf Wajdi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menggalas jawatan tersebut.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan kepada beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada semua ucapan tahniah yang diberikan ekoran pelantikan tersebut.
“Terima kasih semua atas semua mesej-mesej ucapan tahniah yang diberikan, tak sempat saya membalas satu persatu.
“Cuma saya dengan rendah hati memohon doakan agar dapat saya melaksanakan amanah yang berat ini dengan berkesan, penuh berintegriti dan yang paling utama sentiasa diberkati Allah,” ujarnya. – UTUSAN









