MONTERREY: Ismael Saibari muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk menghantar Belanda pulang selepas Maghribi menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti susulan keputusan seri 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Monterrey, sebentar tadi.
Kemenangan dramatik itu memastikan skuad Singa Atlas mara ke pusingan 16 terbaik dan bakal membuat perhitungan dengan Kanada dalam usaha meneruskan impian memburu sejarah baharu di pentas dunia.
Belanda terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-72 dan dilihat semakin hampir mengesahkan kemaraan sebelum pertahanan Maghribi, Issa Diop muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada masa kecederaan minit ke-90+1 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan sepanjang 30 minit masa tambahan biarpun saling mencipta peluang, sekali gus memaksa nasib ditentukan menerusi sepakan penalti.
Drama sebenar bermula apabila Neil El Aynaoui gagal menyempurnakan sepakan pertama Maghribi, namun Belanda turut mensia-siakan peluang apabila Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville gagal menemui sasaran.
Maghribi pula hanya terlepas satu lagi sepakan menerusi Achraf Hakimi sebelum Soufiane Rahimi, Chemsdine Talbi dan akhirnya Saibari tenang menyempurnakan tugasan untuk menoktahkan kemenangan 3-2.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan Maghribi bukan lagi sekadar pasukan kejutan selepas muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022, malah kini terus mengukuhkan reputasi sebagai pencabar utama di Amerika Utara.
Kekalahan itu pula menjadi tamparan hebat buat Belanda yang hadir selaku juara Kumpulan F, apabila impian Oranje untuk memburu kejuaraan dunia pertama berakhir dengan penuh kekecewaan selepas ditundukkan Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti. – AGENSI










