Hakim sakit, keputusan kes Syed Saddiq tangguh 13 Julai

Hakim sakit, keputusan kes Syed Saddiq tangguh 13 Julai

SYED Saddiq Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan akhir kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditangguhkan Mahkamah Persekutuan ke tarikh 13 Julai ini.

Pukul 9.30 pagi tadi, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilihat memasuki dewan mahkamah seorang diri sebelum duduk di kerusinya.

“Saya ingin menerangkan keadaannya. Saya dan Yang Arif Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir mahkamah hari ini. Tetapi Yang Arif Datuk Che Ruzima (Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali) tidak bersama kami kerana kami diberitahu Datuk Che Ruzima tidak sihat dan bercuti sakit hari ini dan esok.

“Memandangkan keadaan demikian, kami tidak dapat memberikan keputusan hari ini. Nampak tidak wajar untuk memberikan keputusan dengan kekurangan seorang ahli panel. Kami telah bersedia dengan keputusan itu tetapi perkara tidak diingini telah berlaku.

“Kami boleh memaklumkan semalam, memberitahu pendaftar untuk memaklumkan pihak-pihak bahawa keputusan tidak dapat diberikan hari ini tetapi ia sudah lewat. Saya tidak fikir ia wajar untuk berbuat demikian. Atas sebab itu, saya datang dan beritahu semua terlibat.

“Tetapi kami bersedia untuk sampaikan keputusan pada 13 Julai ini. Tiada cara lain, kami akan sampaikan keputusan pada 13 Julai ini, ” kata Hakim Abu Bakar.

Sepanjang prosiding itu, Hakim Sequerah yang dikatakan ada di mahkamah tidak muncul pada sidang itu.

Menurut Seksyen 78(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, pada bila-bila masa sebelum penghakiman disampaikan, mana-mana Hakim Mahkamah yang mendengar prosiding tersebut tidak dapat hadir prosiding disebabkan oleh penyakit atau apa-apa sebab lain maka pendengaran prosiding hendaklah diteruskan di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah yang selebihnya yang bilangannya tidak kurang daripada dua orang.

Mahkamah Persekutuan hari ini sepatutnya membacakan keputusan rayuan akhir yang dikemukakan oleh pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Ke­tua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pendakwaan memfailkan rayuan pada 26 Jun 2025 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan sehari sebelum itu yang melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna wang dan terlibat dalam pengubahan wang haram.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah atas tuduhan bersubahat de­ngan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.

Syed Saddiq juga didapati bersalah atas tuduhan menya­lahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Isla­mic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Beliau juga didapati bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pendakwa raya mengemu­kakan 28 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.

Antara alasan yang diberikan, Pendakwa Raya menyatakan Hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila antaranya membuat tuduhan liar kepada pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dengan kononnya (pendakwaan dan SPRM) telah memberikan tekanan kepada Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 untuk memberikan ketera­ngan bagi menyenangkan hati SPRM dan menyesuaikan kete­rangan bagi kes pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN