KUALA LUMPUR : Bagi meneruskan legasi ayahandanya di kubu kuat UMNO, Parlimen Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin juga turut serta dalam pemilihan parti UMNO buat kali pertama.Bercakap kepada Utusan Malaysia, ia merupakan hasrat dirinya sendiri bertanding untuk jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak.
“Saya sudah menjadi ahli UMNO 22 tahun, dan dekat 15 tahun sebagai SUB. Berkhidmat dan bersama sama memenangkan parti UMNO di Pasir Salak.
“Sebagai ahli yang setia dan sayangkan parti, saya ambil keputusan untuk bertanding pada pemilihan kali ini bagi mengembalikan kemenangan di Pasir Salak dan meneruskan perjuangan ayahanda,” katanya.
Sri Rahayu mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran UMNO Pasir Salak dan pengurusan parti. Sejak 2001 beliau telah berkecimpung dalam parti UMNO. Bermula dari bawah sebagai ahli biasa kemudian sebagai Naib Ketua Wanita cawangan Pekan Rabu, diberi mandat dan kepercayaan untuk memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian, Setiausaha BN, Setiausaha Jentera PRU 13 & 14, dan menyelaras Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak.
Dalam bidang kerjaya pula, beliau kini merupakan Pengarah Urusan Taj Tours (Malaysia) Sdn. Bhd, pernah menjadi ahli panel pelaburan HRD Corp dan mempunyai pengalaman perniagaan dan pembangunan dalam dan luar negara.
Dari segi Pendidikan pula, Rahayu merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia & Pengurusan Perniagaan) di Universiti Charles Sturt, Australia, serta pemegang ijazah Sarjana Sains Pengurusan (Double Masters) di Universiti Lancaster, United Kingdom dan Universiti Sunway, Kuala Lumpur.
Rahayu dalam masa yang sama turut berharap agar seluruh perwakilan wanita dapat memberi sokongan kepadanya bagi meneruskan legasi bapa dan terus berkhidmat demi parti.
“Saya berharap agar perwakilan wanita memberi peluang kepada saya untuk meneruskan khidmat bakti dalam parti. Dengan pengalaman dan ilmu yang ada, saya yakin saya dapat memimpin wanita. –utusan









