Ahmad Bashah nasihat Sanusi pelihara hubungan

Ahmad Bashah nasihat Sanusi pelihara hubungan

AHMAD Bashah Md. Hanipah (kiri) bersama Zamri Yusuf mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di Taman Wira, Mergong di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menasihatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor agar berusaha memelihara hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar itu berkata, kepentingan rakyat perlu didahulukan dalam setiap perbuatan dan tindakan oleh mana-mana pemimpin negeri dengan Muhammad Sanusi tidak perlu bersikap lantang secara terbuka hingga mengeruhkan keadaan dan suasana.  

“Saya pun bersara sebagai menteri besar, jadi saya tahu keadaannya di mana mereka yang berada di kedudukan itu perlu ambil tanggungjawab untuk memastikan kerjasama antara Persekutuan serta negeri berlangsung baik.

“Tak kiralah walau berbeza parti sekali pun, hubungan antara kedua-dua pihak ini perlu ‘disatukan’. Apabila rakyat sudah buat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, semua pihak harus terima dan hormati.

“Dalam pemikiran seorang Menteri Besar, yang paling penting kita fikirkan kesejahteraan rakyat. Kita perlu tentukan kejayaan pembangunan negeri ini untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bubur lambuk di Taman Wira Mergong di sini, semalam.

Persengketaan antara Muhammad Sanusi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin memuncak dan berlarutan ketika ini dengan Menteri Besar itu mendakwa beliau dilarang menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23) pada Mei depan.  

Selain itu, Muhammad Sanusi turut mendakwa kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April ini, ditarik balik.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, pihak pembangkang di negeri ini juga sebenarnya sangat mahu melihat hubungan akrab antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Saya sendiri pernah menjadi Exco dan kita tahu macam mana kemampuan Kedah. Kedah ini sangat perlu bergantung rapat dengan Persekutuan. Kita cuma mahu lihat kerjasama dan bukan minta sedekah pun. Kerjasama hasil hubungan diplomatik mampu bantu kita untuk dapat banyak perkara,” katanya.

Tambahnya, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya mengambil sikap untuk berkonfrontasi termasuk dengan membuat tuduhan kononnya dihalang daripada menghadiri majlis Kerajaan Persekutuan.

“Dalam hal ini saya dah semak dengan beberapa orang menteri Kabinet dan mereka kata tak pernah ada pun perkara itu dibincangkan.

“Malah mereka kata, tak mungkin perkara itu menjadi tajuk yang dibincangkan dalam Kabinet. Entah daripada mana menteri besar dapat maklumat sedemikian dan itu bagi saya sangat tidak tepat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×