Ahli politik Pas disaran mohon tauliah ceramah, kuliah di masjid - Utusan Malaysia

Ahli politik Pas disaran mohon tauliah ceramah, kuliah di masjid

ABDUL Hadi Awang (tengah) menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas menyarankan ahli politik parti itu memohon tauliah daripada Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu  (Maidam) bagi menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, ahli politik termasuk wakil rakyat Pas yang belum memiliki tauliah tersebut perlu mengemukakan permohonan berkenaan bagi membolehkan mereka mengajar agama secara sah.

Menurutnya, sebahagian daripada ahli politik daripada Pas telah memiliki tauliah tersebut.

“Insya-Allah kita mohon (tauliah) . Ada yang telah mohon, ada yang dapat, ada yang tidak dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Tabung Keprihatinan Bantuan Kemanusian untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerahkan sumbangan tersebut sebanyak hampir RM800,000

Sebelum itu, Ahli Parlimen Marang itu turut menyampaikan kuliah dhuha mingguan seperti biasa di masjid tersebut.

Husain memberitahu, ahli politik Pas yang menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau hanya menyampaikan ilmu agama, dan bukannya politik.

“Bagi kita, kita menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Islam, menjalankan dakwah, menyampaikan ‘Amar Makruf  dan Nahi Mungkar’ kepada rakyat.

“Itu tugas asasi kita di mana jua dan Islam ini di bukit pun Islam, di laut pun Islam, di darat pun Islam, di masjid apatah lagi,” katanya.

Pada 3 Mac lalu lalu, Maidam mengeluarkan larangan kepada semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara tidak menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.

Selain itu, ahli politik terbabit  juga tidak dibenarkan bertindak sebagai Khatib dan Imam solat Jumaat di masjid-masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, peraturan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya