Ah long ‘upah’ sindiket ugut peminjam - Utusan Malaysia

Ah long ‘upah’ sindiket ugut peminjam

Ah long
MOHD. Iqbal Ibrahim menunjukkan rampasan diperolehi dalam satu serbuan terhadap sindiket ah long, pada sidang akhbar dekat IPD Shah Alam, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Selesaikan hutang atau hari raya nanti saya buat lebih teruk”.

Demikian antara notis di­sampaikan oleh sindiket yang ‘diupah’ ah long kepada pe­minjam wang tidak berlesen itu sebelum ditahan polis dalam serbuan dekat Sungai Besi kelmarin.

Pasukan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan tujuh warga tempatan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 41 tahun termasuk pasangan kekasih dan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mereka diketuai suspek berusia 41 tahun dipercayai terbabit dengan kegiatan mengugut peminjam untuk menuntut bayaran dengan menyimbah cat merah, me­ngunci dan menampal notis di rumah mangsa.

Menurutnya, pada awalnya, sindiket dikatakan hendak membuat pinjaman dengan ah long, namun sebaliknya ditawarkan tugasan sebagai ganti dengan bayaran sekitar RM300 hingga RM450 bagi setiap rumah.

“Sindiket mula beroperasi sekitar Februari lalu sehingga sekarang dan berurusan hanya menggunakan aplikasi Whats­App bagi menerima arahan dan menjalankan tugasan tersebut. Bagi setiap arahan yang dibuat, sindiket akan membuat video dan menghantarnya sebagai bukti.

“Ah long kemudian membuat bayaran upah ke dalam akaun kepada salah seorang ahli sindiket. Bagi setiap ugutan yang dibuat, sindiket menerima wang mengikut jarak rumah dan tindakan yang diambil,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Mohd. Iqbal menjelaskan, daripada tangkapan tersebut polis menemukan lebih 80 transaksi bayaran diterima sindiket dan 26 daripadanya melibatkan kegiatan dilakukan di sekitar Shah Alam.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah kereta, tiga buah motosikal, bungkusan dan tin mengan­dungi cat merah, kunci mang­ga, mangga basikal, surat ugutan dan barangan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.