60,000 ejen hartanah sukar jual rumah

60,000 ejen hartanah sukar jual rumah

KENAIKAN OPR sukarkan orang ramai untuk memiliki rumah sendiri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 60,000 lebih ejen hartanah berdaftar seluruh negara perlu bersaing sesama sendiri untuk menjual rumah oleh kerana kuasa beli masyarakat menjadi lemah disebabkan keadaan ekonomi semasa.

Malah, ejen-ejen hartanah tersebut juga perlu bersaing dengan ejen tidak berdaftar yang merupakan antara cabaran dihadapi ketika ini.

Perunding Hartanah di Chester Properties, Adha Md. Nur berkata, situasi tersebut memberi kesan terutama kepada ejen yang menjual perumahan di projek baharu atau di dalam tempoh pembinaan.

Menurut beliau, bagi perun­ding-perunding hartanah yang menjual rumah secondhand, lelong dan sewaan kemungkinan tidak menghadapi impak yang sama seperti mana ejen yang berfokuskan kepada rumah baharu.

“Ia menjejaskan ejen yang memfokuskan kepada rumah-rumah baharu kerana apabila harga rumah meningkat ditambah pula dengan keada­an ekonomi ia menyebabkan ku­rangnya pembeli.

“Dalam keadaan semasa ini, boleh dikatakan aktiviti penjualan rumah agak menurun sedikit berbanding sebelum ini. Namun, secara peribadi alhamdulilah masih boleh menjana pendapatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, harga rumah dijangka terus melambung ekoran kos bahan asas binaan menca­tatkan kenaikan antara 15 ke 20 peratus.

Sebagai contoh, jika sebelum ini sebuah rumah dijual RM150,000, akan naik kepada RM180,000 seunit termasuk mem­babitkan rumah mampu mi­lik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Perunding hartanah daripada Maxxan Realty, Syauqi Atar berpendapat harga di pasaran hartanah akan terus meningkat di­sebabkan pelbagai faktor di luar kawalan seperti bahan binaan, tahap permintaan dan tawaran.

Namun, jelasnya, mengikut laporan dikeluarkan oleh Jaba­tan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ia menunjukan pasaran hartanah berada di dalam keadaan yang baik tetapi aktiviti pembelian masih tidak memberansangkan.

“Antara faktornya adalah apabila individu yang ingin membeli rumah mengeluarkan wang simpanan mereka di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tiada pula wang untuk didepositkan sebanyak 10 peratus maka pembelian tidak boleh berlaku.

“Faktor lain yang menyebabkan aktiviti pembelian rumah menjadi masalah adalah kadar bunga,” katanya.

Sementara itu, perunding hartanah di Legacy Real Property Sdn. Bhd, Mohd. Nasharil Nasiruddin berkata, antara cabaran dihadapi oleh perunding berdaftar ketika ini adalah lambakan ejen ‘haram’ di dalam industri.

Katanya, kumpulan tersebut memberi tempias negatif kepada kumpulan ejen yang benar-benar berdaftar kerana mereka melakukan urusan jual beli tanpa mengikut peraturan sehingga ada pembeli diperdaya dan ditipu..

“Jadi apabila adanya kes sebegitu, ia memberi kesan kepada ejen hartanah yang berdaftar apabila sebahagian masyarakat merasakan kami ini semuanya sama sedangkan pihak menipu itu daripada kumpulan lain.

“Jadi, perlu ada undang-undang yang dikuatkuasakan untuk melindungi ejen-ejen hartanah berdaftar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN