328 bubu naga dirampas sepanjang Februari lalu - Utusan Malaysia

328 bubu naga dirampas sepanjang Februari lalu

YAZEEREEN A. Bakar (kiri) menunjukkan sebahagian bubu naga yang dirampas Jabatan Perikanan dalam sidang akhbar di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas dan menyita sebanyak 328 bubu naga bernilai RM39,360 sepanjang bulan lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Yazeereen A. Bakar berkata, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri pemeriksaan darat di jeti-jeti nelayan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Jelas beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memantau penjualan bubu naga di platform-platform menjual barangan secara online.

“Kita sedang memantau dan KPDN serta SKMM sedang dalam proses untuk memastikan tiada iklan jualan bubu naga dalam aplikasi jualan barangan secara dalam talian ini.

“Usaha ini akan dijalankan secara berterusan bagi membendung penjualan bubu naga menerusi dalam talian.,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perikanan negeri, Batu Maung, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, selain bubu naga, pihaknya juga menyita sebanyak 2,890 mata rawai tanpa umpan yang didapati tidak mempunyai kebenaran untuk digunakan bagi menangkap ikan.

Malah, ujar beliau, pada 9 Februari lalu juga, pihaknya menahan dan menyita sebuah vesel pukat tunda Zon B1 tempatan pada kedudukan 16 kilometer dari Pulau Bidan, Yan Kedah.

”Penyitaan ini dilakukan kerana vesel didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan keroncong pukat tunda bersaiz kurang 38 milimeter (mm),” katanya.

Selain itu, katanya, empat nelayan tempatan berusia 25 hingga 63 tahun ditahan kerana melanggar syarat lesen dan mereka telah dikompaun dan dibebaskan.

“Turut disita adalah hasil tangkapan sebanyak 500 kilogram, anggaran nilai rampasan bagi kesemua kes sepanjang Februari adalah sebanyak RM42,860 termasuk hasil tangkapan sebanyak 0.5 tan metrik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya