21 kes ketirisan diesel dikesan dalam Op Tiris - Utusan Malaysia

21 kes ketirisan diesel dikesan dalam Op Tiris

ARIS Mamat (tengah) melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta dalam Ops Tiris di ICQS Pengkalan Hulu dekat Gerik hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Sebanyak 21 kes ketirisan diesel bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM283,375 direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari Ops Tiris dilancarkan sejak 1 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Aris Mamat berkata, rampasan berkenaan membabitkan 93,740 liter bahan api yang berjaya diselamatkan daripada diselewengkan.

Katanya, dalam tempoh tersebut, Sarawak mencatatkan kes tertinggi sebanyak lima kes selain Negeri Sembilan dengan empat kes.

“Ketirisan bahan api ini berlaku di banyak peringkat sama ada di peringkat stesen-stesen minyak ataupun melalui pemborong, bukannya hanya setakat pembelian oleh warga asing di stesen minyak.

“Mereka ini menggunakan kenderaan pelbagai termasuk kereta biasa atau lori untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum dialihkan ke dalam tangki lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang Op Tiris dijalankan setakat ini, sebanyak 168 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara membabitkan 178 pegawai penguat kuasa.

Katanya, operasi dan pemantauan akan dipertingkatkan di semua peringkat terutama di kawasan sempadan negara selain stesen-stesen minyak dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi.

“Tindakan akan diambil segera sama ada melalui risikan atau maklumat daripada pihak luar. Rondaan dan pemantauan memang selalu diadakan termasuk di kawasan sempadan negara di Perak, Kelantan dan Kedah,” katanya.

KPDN melaksanakan Op Tiris bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Ogos depan bagi menangani isu ketirisan diesel subsidi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 lalu turut membangkitkan isu kewujudan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang dianggarkan berjumlah hampir RM10 bilion pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya