1MDB: Pejabat Peguam Negara tidak tahu jika Rohana sudah pulangkan AS$10 juta  - Utusan Malaysia

1MDB: Pejabat Peguam Negara tidak tahu jika Rohana sudah pulangkan AS$10 juta 

1mdb
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui jika bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd., Datuk Rohana Rozhan sudah mengembalikan wang AS$10 juta berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Pejabat Peguam Negara tiada pengetahuan berkenaan perkara itu setakat ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada Rohana sudah mengembalikan wang AS$10 juta kepada kerajaan atau sebaliknya.

Pada tahun lalu, Rohana dilaporkan bersetuju menyerahkan semula AS$10 juta yang diberi bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner kepadanya.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Roger Ng, yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.

Sebelum ini, Leissner memberitahu Mahkamah New York, beliau memberi Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Roger yang juga bekas pegawai bank Goldman Sachs pula turut didapati bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Dalam keterangannya sebelum itu, Leissner berkata, wang itu diberi kepada Rohana untuk membeli kediaman mewah berkenaan selepas wanita terbabit mengancam untuk mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.

Media pada Mac tahun lalu melaporkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Rohana disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan harta Rohana di London serta aset lain dibekukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya