150 pusat pelupusan sampah ‘tenat’

150 pusat pelupusan sampah ‘tenat’

SUKARELAWAN Trash Hero aktif mengutip sampah di kawasan pelancongan di pesisir Pantai Kuala Sungai Baru, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan tidak cekap pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan Pusat menyebabkan hampir 150 pusat pelupusan sampah menuju kepada ‘titik noktahnya’ selepas mencapai had kapasiti.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Damien Thanam Divean berkata, Malaysia tidak dapat bertahan sekiranya kekal dengan cara lama terutama apabila negara mencatat kira-kira 14 juta tan metrik sampah setahun dan ia semakin meningkat.

“Tindakan dan jalan kerja drastik perlu diambil, sampah-sarap domestik mesti dikuatkuasakan untuk diasingkan di ruang masak terlebih dahulu sebelum diletakkan di luar rumah menerusi tong-tong sampah disediakan untuk setiap jenis sampah seperti plastik, besi, kain, kertas (kitar semula) serta sampah organik yang akan busuk seperti sisa daging mahupun sayur-sayuran.

“Undang-undang di peringkat PBT, negeri dan Pusat mesti dipinda dahulu untuk ‘memaksa’ pengguna beradaptasi dengan amalan ini secepat mungkin seperti penggunaan pelitup muka yang dilaksanakan ketika pandemik dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

KERATAN laporan Utusan Malaysia 6 Mac 2023.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Malaysia bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan metrik sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.

Jumlah tersebut diperoleh dengan mengambil kira anggaran sampah yang dijana daripada domestik iaitu sekitar 1.2 hingga 1.3 kilogram (kg) bagi setiap individu dan anggaran keseluruhan sehari itu juga dikatakan komposisi terbesar untuk diurus bagi sesebuah negara.

Damien berkata, keadaan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan dalam mendidik dan membawa perubahan drastik dengan cara pengurusan baharu iaitu penguatkuasaan yang tegas.

SISTEM INSINERATOR BAWA LEBIH KEBURUKAN?

Sementara itu, mengulas mengenai sistem insinerator iaitu kaedah yang diwar-warkan sesuai dalam pengurusan pelupusan sampah, Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Sekitar (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mageswari Sangaralingam menyifatkan teknologi itu lebih membawa kepada keburukan pada alam sekitar, awam serta hidupan lain.

“Walaupun dikatakan teknologi terbaik akan digunakan tetapi ini tidak menjamin bahawa pelepasan berbahaya tidak dilakukan. Pelepasan gas toksik dari insinerator akan menjejaskan kesihatan terutama kepada kanak-kanak, wanita dan warga emas.

“Melalui pendedahan biasa, toksin dari pelepasan insinerator diserap oleh tubuh melalui proses yang dikenali sebagai pengumpulan bio. Abu yang dihasilkan dari insinerator juga berbahaya dan perlu dilupus di tapak pelupusan dan diuruskan dengan baik,” jelasnya.

SUKARELAWAN Trash Hero aktif mengutip sampah di kawasan pelancongan di pesisir Pantai Kuala Sungai Baru, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Tambahnya, terdapat langkah lebih sesuai untuk negara bergerak ke arah ‘sifar sisa’ berbanding menggunakan proses penunuan sisa yang tidak memenuhi syarat kitar semula seperti mengurangkan penjanaan sisa, penggunaan berhemah dan sisa organik harus dikompos.

“Teknologi insinerator juga mahal dan membazirkan sumber. Data saintifik membuktikan bahawa teknologi insinerator penuh dengan risiko kepada kewangan, kesihatan, alam sekitar berbanding dengan manfaat yang dinyatakan oleh penggerak teknologi,” katanya.

CONTOHI BUDAYA JEPUN, KOREA SELATAN DISIPLINKAN DIRI

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Teknologi Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri berkata, keprihatinan untuk menjaga alam sekitar dan kawasan persekitaran masih berada pada tahap rendah meskipun pelbagai dasar serta kempen kesedaran dilaksanakan pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memupuk kesedaran itu.

Namun katanya, kempen seperti itu nampaknya belum mendatangkan hasil diharapkan.

“Kalau dilihat kesedaran ini perlu bermula di peringkat akar umbi bermula dari rumah. Namun tiada didikan berterusan secara amali di sekolah dan rumah oleh ibu bapa. Hanya selalu kedengaran arahan lisan seperti ‘jangan buang sampah merata-rata’ dan perkara itu dilihat tidak membantu,” katanya.

Rosnani yang juga Koordinator Pahlawan Sampah (Trash Hero) Perlis berkata, di Eropah seperti Jerman mereka mempunyai dasar atau sistem teratur dalam menguruskan isu itu.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini sering kali mengingatkan rakyat supaya mencontohi negara seperti Jepun sama ada dari segi kemajuan, nilai diri dan sikap.

Katanya, salah satu sikap rakyat Jepun itu adalah sentiasa mengamalkan kebersihan dan agama Islam sendiri sebenarnya sangat menitikberatkan kebersihan sebagai salah satu cabang iman.

“Perubahan bukan hanya terhad kepada usaha untuk mengembangkan potensi diri kita supaya mendapat pengiktirafan, tetapi juga perubahan sikap ke arah yang lebih positif. Sebagai contoh, jika anda makan di restoran makanan segera, bersihkan meja sendiri selepas makan dan jangan mengharapkan pekerja yang datang membersihkannya untuk anda,” katanya.

Katanya, budaya seperti itu diamalkan di kebanyakan negara timur seperti Jepun dan Korea Selatan dan ia mungkin sebagai langkah permulaan untuk masyarakat mendisiplinkan diri dengan kebersihan persekitaran.

KERAJAAN, RAKYAT HARUS BERTANGGUNGJAWAB ISU SAMPAH

Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula mencadangkan kempen kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sampah yang betul diperhebat manakala penguatkuasaan dipertingkatkan dalam usaha memastikan Malaysia menjadi negeri bersih dan sihat.

Penyelidik Lapangannya, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, hakikatnya terdapat kelemahan di peringkat kerajaan khususnya penguatkuasaan serta tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung isu pengurusan dan pelupusan sampah.

Jelasnya, ia berdasarkan kajian dibuat pihaknya serta aduan yang diterima melibatkan isu tersebut.

“Budaya masyarakat kita sukar menerima perubahan, sebagai contoh kurang kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk mengasingkan sampah domestik, campur semua sekali di satu tempat sehingga menyukarkan pihak yang melupuskan sampah.

Menurut Meor Razak, walaupun sebenarnya di peringkat Persekutuan sudah ada dasar yang agak jelas, masalahnya adalah pelaksanaan dan penguatkuasaan yang masih longgar khususnya di peringkat negeri dan PBT.

Malah, jelasnya, banyak kawasan di negara ini masih menggunakan kaedah pelupusan sampah secara konvensional yang semakin hari semakin penuh dan belum ada kaedah penyelesaian untuk menanganinya.

SELANGOR JANGKA URUS 9,000 TAN SAMPAH 10 TAHUN AKAN DATANG

Sementara itu di Selangor, negeri itu mengunjurkan peningkatan pembuangan sampah pepejal sebanyak dua peratus setahun atau 9,000 tan metrik sehari pada 10 tahun akan datang berbanding 7,000 tan metrik ketika ini.

Sampah pepejal yang dikumpul secara purata sehari itu tidak termasuk kira-kira 3,000 tan metrik sisa buangan daripada komersial dan industri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri​, Ng Sze Han berkata, pengumpulan sampah pada jumlah tersebut menyebabkan kerajaan negeri dilihat seperti memerlukan tapak pelupusan baharu.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lapan tapak pelupusan sampah yang berdaftar dengan kerajaan negeri diuruskan oleh anak syarikat iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) seperti di Jeram, Kuala Selangor; Tanjung Duabelas, Kuala Langat; Kuang, Gombak; Panchang Bedena, Sabak Bernam; Dengkil, Sepang dan Sungai Tua, Gombak.

Dua lagi di Bukit Tagar, Hulu Selangor diuruskan KUB Berjaya Enviro Sdn. Bhd., dan MPKJ Inert Waste Landfill (Majlis Perbandaran Kajang).

“Kita memerlukan 60 ekar (24.2 hektar) tanah dalam masa setahun jika kaedah ini diteruskan, atau 1,800 ekar (728.4 hektar) dalam 30 tahun. Secara jelas, tapak pelupusan sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah ini.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor membuat ketetapan bahawa tiada keperluan untuk membuka tapak pelupusan sampah baharu, kerana hala tuju kerajaan negeri adalah ke arah pembangunan dan pengurusan yang lestari,” katanya.

KEBANYAKAN sisa domestik melimpah sekali gus mengundang pencemaran bau di tapak pembuangan sampah. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pada 7 Mac lalu menegaskan akan mengambil tindakan termasuk merampas tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 2018 pernah mengumumkan pembinaan loji insinerator sisa kepada tenaga (WTE) menerusi WHB bernilai RM500 juta yang didakwa sebagai terbesar di negara ini.

Lantaran itu, Sze Han turut menjelaskan keperluan pengurusan pelupusan sampah menggunakan kaedah WTE bagi menggantikan cara konvensional untuk memastikan kemapanannya pada masa depan.

“Untuk tujuan pelupusan atau pengurusan sisa pepejal, konsep WTE akan diguna pakai. Pembinaan WTE ini akan dilaksanakan oleh dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu WHB dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management.

“Kerajaan negeri menetapkan sasaran agar pembinaan WTE Selangor yang pertama siap menjelang 2025. Kaedah WTE akan menggantikan kaedah tapak pelupusan sampah atau landfill,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN