Wanita sesak nafas lihat rumah terbakar

Wanita sesak nafas lihat rumah terbakar

ANGGOTA bomba dan orang ramai memberikan bantuan kepada Siti Aisyah yang sesak nafas selepas melihat rumahnya di Taman Ria Jaya di sini terbakar pagi tadi. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang suri rumah sesak nafas dan terpaksa diberikan bantuan oksigen oleh jiran selepas terkejut melihat rumahnya di Taman Ria Jaya, di sini terbakar pagi ini.

Wanita dikenali sebagai Siti Aisyah, 50-an tiba-tiba rebah dan terpaksa ditenangkan oleh suaminya sambil dibantu jiran selepas melihat rumah didiami bersama dua lagi anak mereka sedang marak terbakar.

Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu berlaku ketika Siti Aisyah dan suaminya tiada di rumah kerana keluar membeli barangan dapur di pasar berdekatan.

Bagaimanapun, tindakan pantas seorang jiran memberikan bantuan balang oksigen miliknya untuk digunakan oleh Siti Aisyah berjaya menenangkan mangsa.

Mangsa yang mempunyai masalah jantung kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, anak mereka, Nur Farah Hanim, 26, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran rumah sementara abangnya, Mohd. Zahari, 32, berada berseorangan di rumah.

“Sebaik dimaklumkan rumah terbakar saya segera bergegas pulang kerana bimbang keselamatan abang yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Tetapi saya bersyukur kerana sebaik sampai abang telah berjaya dibawa keluar oleh jiran dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Ketua Zon 2 Bomba, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Ab. Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 9.21 pagi sebelum 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Aman Jaya tiba ke lokasi.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Sukarela Sungai Petani turut membantu dan selepas 20 minit kemudian api berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya.

Kata Syobirin, kejadian itu menyebabkan rumah terbabit terbakar kira-kira 95 peratus manakala rumah bersebelahannya kira-kira 20 peratus selain turut memusnahkan sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.