Unimap tawar diploma Kejuruteraan Bahan pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Unimap tawar diploma Kejuruteraan Bahan pertama di Malaysia

PENGERUSI Rancangan Diploma Jabatan Bahan FKTK Unimap, Dr. Luqman Musa membuat perancangan rapi penyediaan makmal bagi menyambut kemasukan pelajar sulung Diploma FKTK pada Julai depan di Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan kursus Kejuruteraan Bahan peringkat diploma bermula sidang akademik kemasukan Julai 2023.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, program diploma Kejuruteraan Bahan di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) itu bakal menerima pengambilan sulungnya dengan kemasukan terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya bagi sesi 2022 dalam Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar iaitu UPUOnline.

Katanya, program yang ditawarkan itu menitikberatkan kemahiran teknikal serta amalan industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi.

Katanya, selain itu, ia juga bertujuan untuk pelajar berdaya saing dalam memacu pembangunan negara sejajar dengan dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

“Selain itu, Unimap juga merupakan universiti berstatus ‘universiti teknikal’ yang bernaung di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersama-sama Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Univeristi Teknikal Malaysia Melaka.

“Berdasarkan rekod, terdapat beberapa universiti menawarkan program yang sama tetapi pada peringkat ijazah sarjana muda namun program yang ditawarkan ini merupakan yang pertama di Malaysia oleh Unimap bagi peringkat diploma yang mana pengerusi rancangannya ialah Dr. Luqman Musa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dekan FKTK, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, program yang ditawarkan itu selari dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu oleh Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) memfokuskan kepada bahan-bahan termaju seperti metabahan, plastik, komposit, seramik dan banyak lagi.

Katanya, jika dilihat dalam pelan hala tuju ini, pelbagai ekosistem industri besar yang menawarkan perusahaan bahan termaju antaranya Aerospace Composites Malaysia, Petronas, Perodua, DRB Hicom, Dialog, Western Digital, Intel dan banyak lagi.

“Graduan dari program ini akan didedahkan dengan ilmu berkaitan bahan seperti pemprosesan bahan, pengujian serta analisis bahan ini yang mendapat permintaan tinggi dari pemain industri dari dalam dan luar negara.

“Antara sektor industri yang menawarkan pekerjaan dalam bidang berkaitan kejuruteraan bahan adalah sektor pembungkusan elektronik, automotif, kimpalan, industri plastik dan polimer serta minyak dan gas,” katanya.

Tambahnya lagi, pelajar yang berjaya menamatkan kursus di peringkat diploma juga berpeluang untuk melanjutkan pembelajaran di peringkat Sarjana Muda kejuruteraan.

“Selain itu, program ini juga mensasarkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan berikutan permintaan tinggi dari pemain industri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya