TVET, keusahawanan turunkan pengangguran

TVET, keusahawanan turunkan pengangguran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sistem pendidikan negara memerlukan pembaharuan daripada berteraskan 70 peratus bidang akademik semata-mata, dengan memasukkan elemen pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta keusahawanan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, sistem pendidikan yang diamalkan sejak sekian lama masih disifatkan lemah hingga menyebabkan kadar pengangguran belia terus meningkat.

Menurutnya, pembaharuan tersebut perlu dilaksanakan segera kerana dua elemen itu lebih menjamin masa depan pelajar agar mudah mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan dan universiti.

“Satu langkah pelaksanaan TVET dan keusahawanan dalam sistem pendidikan negara perlu dilakukan secara bersepadu demi menyelamatkan masa depan belia, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing.

“Saya lihat sistem pendidikan negara yang 70 peratus berorientasikan bidang akademik semata-mata menyebabkan ramai pelajar yang keluar dari universiti, sukar untuk mendapat pekerjaan tetap dan ini menyebabkan ramai menjadi ‘mat rempit’.

“Sebab itu, kerajaan kena ada polisi untuk tukar bidang akademik ini kepada 70 peratus TVET dan keusahawanan. Jadi bila keluar belia boleh berdikari kerja baiki penyaman udara, kereta tidak perlu bergantung pada peluang kerja kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Burung Lovebird di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka (TBRM), Ayer Keroh di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, terkini kadar pengangguran dalam kalangan belia hampir mencecah satu juta orang, memandangkan peluang kerja tersedia tidak bersesuaian untuk diisi oleh mereka.

Menurutnya, meskipun pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam membangunkan TVET, ia masih belum berkesan membantu lepasan bidang itu menceburi bidang keusahawanan.

“Ketika ini, tiada agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan kajian secara serius terhadap keperluan industri dengan sistem pendidikan di peringkat rendah dan tinggi.

“Ekoran itu berlaku kesilapan memilih bidang atau kursus dalam kalangan pelajar yang menyebabkan mereka hilang hala tuju selepas tamat pengajian. Peranan ini perlu dilaksanakan oleh agensi terbabit agar menjalankan kajian pemadanan antara kursus yang ditawarkan di institut kemahiran dengan keperluan industri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.