TLHT dibelasah Negeri Sembilan 5-1 - Utusan Malaysia

TLHT dibelasah Negeri Sembilan 5-1

PEMAIN TLHT, Qasidah Najwa Muhammad Halimi (kiri) diasak oleh pemain Negeri Sembilan pada aksi HML 2023 di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Negeri Sembilan menepati status selaku pasukan pilihan selepas mengatasi Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) 5-1 pada cabaran Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya (MBKT) Batu Buruk, petang tadi.

Pada awal permainan, TLHT yang mula mencemaskan kubu pelawat menerusi gerakan Qasidah Najwa Halimi dan Surizan Awang Noh pada minit ketiga.

Tekanan itu gagal menghasilkan jaringan sebaliknya Negeri Sembilan memperoleh gol pembukaan pada minit kesembilan hasil pukulan kencang pemain kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Hanya tiga minit kemudian, tuan rumah terus tersentak apabila tolakan Fatin Naimah Zaki berpunca keadaan kelam-kabut di depan pintu melebarkan kelebihan Negeri Sembilan.

Pelawat membawa jaringan 3-0 ke bilik persalinan setelah pakar flik skuad negara, Nuraini Abdul Rashid, menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, TLHT memperkemaskan rentak dan dihadiahkan pukulan penalti strok pada minit ke-40 yang disudahkan oleh Fazilla Sylvester Silin.

Kebangkitan yang cuba direncana TLHT tidak berhasil dengan Negeri Sembilan menjadikan kedudukan 4-1 melalui jaringan padang Fatin Naimah (m-44) yang juga gol kedua peribadinya.

Nuramirah Shakirah melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya pada minit ke-58 selepas mengelirukan penjaga gol TLHT untuk menolak masuk bola ke dalam pintu gol.

Keputusan 5-1 itu memastikan Negeri Sembilan mencatat kemenangan keempat dan mengutip 14 mata daripada enam perlawanan untuk terus bersaing dengan KPT-Uniten Thunder. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN