KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.
“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih lima peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” katanya.
Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan bercadang memperkenal Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.
“Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah dan segala yang mewah, semua harus dicukai,” katanya.
Selaras amalan terbaik antarabangsa, kata beliau, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenal Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.
“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya. – UTUSAN