Tender semula tebatan banjir tidak ambil masa panjang

Tender semula tebatan banjir tidak ambil masa panjang

AHMAD Zahid Hamidi (depan, dua kanan) bergambar bersama warga Kesedar semasa mengadakan lawatan ke agensi berkenaan di Gua Musang, Kelantan hari ini. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan memberi jaminan proses tender semula melibatkan projek tebatan banjir tidak mengambil masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan semula projek itu akan dapat dimulakan dalam waktu terdekat sekiranya semua prosedur dipenuhi dengan baik.

Menurutnya, hal ini kerana kawasan yang terlibat dengan projek tersebut sudah dikenal pasti oleh kerajaan sebelum ini.

“Skop kerja juga sudah ada dan pada hemat saya proses tender semula tebatan banjir tidak mengambil masa panjang.

“Oleh yang demikian kaedah perolehan tender perlu dilakukan secara telus kerana sebelum ini ia dibuat secara rundingan terus atau tander terpilih,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamat.

Antara projek yang terlibat adalah rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor; pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor serta pembangunan lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

Anwar juga menegaskan, perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat dan menguntungkan beberapa kerat berkait soal tebatan banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN