Syed Saddiq mula beri keterangan bela diri - Utusan Malaysia

Syed Saddiq mula beri keterangan bela diri

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap empat pertuduhan melibatkan dana Armada RM1 juta. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mula membela diri di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi terhadap empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Beliau tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.18 pagi manakala ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz tiba beberapa minit sebelum itu bagi mengikuti perbicaraan.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang dijadualkan didengar sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu wakil media, pihak pendakwaan menerima pernyataan bertulis pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, Sabtu lalu.

Ketika mahkamah bersidang pukul 10.45 pagi, Syed Saddiq memulakan keterangannya dengan membacakan pernyataan bertulis setebal 25 muka surat daripada kandang saksi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding lalu, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya