Sukarelawan Muslim Care berlepas ke Turkiye beri bantua

Sukarelawan Muslim Care berlepas ke Turkiye beri sumbangan kepada mangsa gempa bumi

turkiye
Mohd Johari (tiga dari kanan), Ustaz Muhamad Nazmi (dua dari kiri) bersama Haji Zulkifli (tiga dari kiri) sebelum berlepas ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas Turkiye pada semalam (Selasa, 8 Februari) untuk menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Timbalan Presiden MCM, Haji Mohd Johari Ismail dan Exco Pendidikan, Ustaz Muhammad Nazmi Abd Karim berlepas jam 11 malam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Johari berkata, destinasi mereka di Turkiye ialah Hatay, satu daripada kawasan yang menerima impak teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 skala Richter pada kira-kira pukul 4 pagi dan 1 petang waktu tempatan Isnin lalu.

“Bagaimanapun, kami akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana kerana lapangan terbang Hatay ditutup akibat berlaku kerosakan ketika gempa bumi.

“Jarak di antara Adana dan Hatay kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam,” katanya ketika ditemui di KLIA.

Beliau berkata, Hatay, wilayah paling selatan Turkiye dan bersempadan dengan Syria di sebelah selatan dan timur, mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta orang.

“Menurut satu laporan berita, lebih 50 peratus kawasan kediaman musnah akibat gempa dan satu atau dua orang meninggal dunia daripada setiap keluarga,”’ katanya.

Mohd Johari berkata, antara sumbangan awal yang akan diusahakan pihaknya ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa.

Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, sebelum ini Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib bersama beberapa sukarelawan sudah lebih awal berada di Hatay iaitu pada hari kejadian, Isnin lalu.

“Alhamdulillah MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang paling awal turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.

“InsyaAllah Haji Johari dan Ustaz Nazmi akan bergabung dengan pasukan diketuai Muhammad Khatib sebaik saja tiba di Hatay,” katanya.

Rakyat Malaysia boleh menghulurkan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria melalui akaun bank MCM (5644 9041 3882 – Maybank) dan hantarkan slip sumbangan ke Hotline MCM 011-90211159.

Gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria kali ini dikatakan paling teruk dalam sejarah dan jumlah mangsa terkorban di kedua-dua negara itu kini mencecah 8,000 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya