SPRM ambil keterangan ketua cawangan parti politik - Utusan Malaysia

SPRM ambil keterangan ketua cawangan parti politik

SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pensyarah wanita untuk disiasat berkaitan tuntutan palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih lima ke­terangan membabitkan ketua cawangan di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) diambil Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung pemberian duit undi di Terengganu.

Ia didakwa bagi ‘memastikan’ pengundi mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, keterangan sebahagian daripada kira-kira 90 pengundi juga diperoleh bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, sebahagian besar penerima wang merupakan pelajar dan anak tempatan yang bekerja di luar negeri itu.

“Ada mereka yang dikenal pasti berada di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah serta Pahang,” katanya di sini semalam.

Kata sumber, kesemua pe­nerima wang berkenaan disyaki ditawarkan amaun RM30 sehingga RM150 secara rawak.

Jelas beliau, ada sebahagian mereka dihubungi oleh parti politik berkenaan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menelefon penerima berkenaan dengan memperoleh maklumat daripada keluarga yang juga ahli parti politik itu.

“Jentera parti akan keluar mencari ahli yang berdaftar dan melalui salasilah berkenaan, penerima akan dihubungi sebelum dijanjikan amaun itu jika pulang mengundi.

“Siasatan masih dijalankan SPRM dari pelbagai sudut bagi mengetahui punca wang dan siasatan awal, tindakan itu me­rupakan inisiatif jentera cawa­ngan itu sendiri,” jelasnya.

Jumaat lalu Utusan Malaysia melaporkan, 90 individu dikenal pasti SPRM disyaki mene­rima sejumlah wang untuk me­ngundi sebuah parti politik.

Tindakan itu selepas satu siasatan dimulakan SPRM susulan penularan video menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran bagi tujuan mengundi.

Hasil siasatan SPRM, beberapa dokumen seperti tandatangan akuan menerima wang tunai oleh individu terlibat juga diperoleh bagi siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum itu mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pembelian undi atau perbuatan rasuah ketika tempoh berkempen PRU15.

Siasatan dilakukan menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu ekoran dakwaan pemberian wang tunai sebagai ‘umpan undi’.

Tegasnya, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.

Katanya, meskipun ada parti politik menyatakan bantuan kewangan yang diberikan berupa sedekah, namun pemberian tersebut tetap satu unsur ra­suah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya