Sidang Asia Navigator 2023 bincang isu-isu pasca Covid-19 - Utusan Malaysia

Sidang Asia Navigator 2023 bincang isu-isu pasca Covid-19

RODZI Md Saad menekap tapak tangan ke gajet tanda merasmikan Persidangan Asia Navigator 2023 sambil diperhatikan Puteri Mariana Abdul Majid (dua dari kiri) dan Presiden IAED, Jerry Overton (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Asia Navigator 2023 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok di ibu negara bakal membincangkan isu-isu berkaitan pasca Covid-19 terutama menyediakan pihak berkepentingan terhadap protokol kesihatan yang berkesan ketika pandemik.

Ia dianjurkan International Academies of Emergency Dispatch (IAED), sebuah organisasi yang berpangkalan di Salt Lake City, Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama syarikat tempatan, GFIS (M) Sdn. Bhd. (GFIS).

Menurut GFIS, pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang cukup besar terhadap pandangan serta corak kehidupan manusia di seluruh dunia.

Jelasnya, disebabkan budaya di tempat kerja kini telah berubah secara drastik, sebagai contoh, ramai telah memilih untuk menjalani kehidupan norma baharu secara pasca wabak.

“Perintah berkurung serta sekatan pergerakan yang pernah dilaksanakan nyata telah menjejaskan interaksi domestik mahupun antarabangsa dengan membabitkan semua pihak. Ramai tersekat perjalanan dan terpaksa bekerja dari rumah iaitu secara jarak jauh. Organisasi dan syarikat pula dicabar untuk menerima banyak perubahan yang tidak terjangka dan pada masa yang sama, perlu memelihara hala tuju syarikat agar terus memacu kejayaan. 

ANTARA peserta termasuk petugas barisan hadapan yang menyertai persidangan dua hari Asia Navigator 2023 di Kuala Lumpur bermula Rabu.

“Sebagai tindak balas kepada semua sekatan dan langkah berjaga-jaga, banyak organisasi telah memilih untuk kerja secara hibrid, di mana pekerja boleh bergilir-gilir bertugas antara pejabat dan rumah mereka dengan penuh fleksibiliti.

“Pecutan pesat dalam dunia pendigitalan turut berlaku ketika ini melalui penggunaan pelbagai teknologi maya, robotik, kecerdasan buatan (AI), blokchain, mata wang kripto dan seumpamanya,” jelasnya sempena perasmian persidangan tersebut yang berlangsung di Sheraton Imperial Hotel dekat sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GFIS, Puteri Mariana Abdul Majid.

GFIS memberitahu, isu lain yang tidak kurang pentingnya adalah tumpuan yang lebih luas terhadap kesejahteraan pekerja yang kini telah menjadi barisan hadapan strategi modal insan.

Ini bermakna jelasnya, tahap keselamatan diri manusia itu amatlah penting dan perlulah diberi keutamaan selain perlul ada satu keseragaman protokol bagi keselamatan awam tatkala berdepan saat genting serta waktu kecemasan seperti mana penularan wabak.

“Dalam konteks Malaysia, semua anggota barisan hadapan telah memainkan peranan hebat masing-masing sepanjang tempoh pandemik lalu. Ini termasuklah petugas Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Namun tugas mereka tidak terhenti setakat itu sahaja dan kini perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mereka perlu meneruskan khidmat dengan cara yang mungkin berbeza dengan keadaan sebelum wabak berlaku.  Inilah antara isu yang menjadi tumpuan utama dalam Persidangan Asia Navigator 2023.

“Persidangan ini bakal memberi ruang kepada pelbagai agensi penghantaran serta penerima panggilan kecemasan untuk berbincang, bekerjasama serta mengetahui sebarang perubahan protokol yang sesuai untuk dipraktikkan,” katanya.

Tambah GFIS, selain daripada perbincangan dan forum mengenai isu berkaitan, perwakilan juga dapat melawat gerai pameran yang disediakan sepanjang persidangan itu kerana ia akan menyalurkan maklumat dan mendedahkan kepada mereka kepada informasi yang diperlukan.

“Penceramah juga dijangka membentangkan beberapa penambahbaikan penting mengenai Covid-19 kepada protokol yang diperlukan.  Pembentangan akan merangkumi beberapa topik menarik seperti Pandemik Global dan Kesihatan Mental Awam, Pemilihan Protokol Yang Tepat Semasa Pandemik serta Menyatukan Komunikasi Untuk Keselamatan Awam,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya