‘Tak sangka RM100 duit belanja terakhir’

‘Tak sangka RM100 duit belanja terakhir’

JENAZAH dua beradik yang ditemukan lemas selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram, Manir, Kuala Nerus, Terengganu., semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Saya be­ri RM100, tidak sangka ia adalah duit belanja terakhirnya.”

Demikian kata Azman Abd. Wahab, 43, yang kehilangan anak perempuannya, Nur Shahila Shahirah dalam kejadian lemas meragut dua nyawa di Sungai Jeram Hulu, Manir, di sini kelmarin.

Lebih memilukan, kejadian berlaku pada hari ulang tahun Nur Shahila Shahirah yang ke-12.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika Nur Shahila Shahirah bersama tiga rakannya mandi di sungai tersebut namun dua daripada mereka dihanyutkan arus ketika cuba menyelamatkan rakan yang dipercayai lemas.

Seorang lagi yang mati lemas adalah kakak tiri Nur Shahila Shahirah iaitu Nur Afiqah Shahirah Mohd. Shawalluddin, 15. Mayat kedua-dua mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Dua lagi rakan mereka, Nurul Ain Fatihah Mohd. Zamri, 12, dan Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Menurut Azman, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira dua minggu lalu ketika datang ke rumah bekas isterinya, Suria Sulong, 34, di Kampung Jeram untuk menye­rahkan duit belanja sekolah.

Katanya, pertemuan singkat itu kini menjadi kenangan terakhir apabila arwah sempat tunduk dan bersalam dengannya sebelum dia pulang.

“Memang setiap minggu saya datang bagi duit belanja untuk Allahyarham. Duit RM100 yang saya beri itu untuk kegunaan sekolah dan keperluan belajar.

“Bila teringat semula, saya masih tidak percaya dia sudah tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Azman, walaupun dia dan bekas isterinya sudah berpisah sejak enam tahun lalu, hubungan mereka kekal baik demi anaknya.

“Kami masih sering berjumpa sama ada saya datang ke rumah mereka atau anak-anak datang ke rumah saya di Kampung Bukit Petiti, dekat sini,” katanya.

Jenazah Nur Shahila Shahirah dan Nur Afiqah Shahirah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram, Manir, semalam.

Sementara itu, nenek mang­sa, Esah Salleh, 76, berkata, walaupun sedih mengenangkan kehilangan kedua-dua cucu saudaranya itu serentak, dia menganggapnya semua ketentuan Allah SWT.

“Saya sedih sebab jaga mereka sejak kecil, setiap hari hantar ke sekolah menunggang motosikal. Sekelip mata sahaja mereka hilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN