Siasatan Jana Wibawa: Muhyiddin serah kepada SPRM

Siasatan Jana Wibawa: Muhyiddin serah kepada SPRM

MUHYIDDIN YASIN tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan yang dilakukan berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan percaya pihaknya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak berlaku salah laku (pada pihak saya), namun saya serahkan semuanya kepada SPRM yang melakukan siasatan,” ujar beliau ketika ditemui petugas media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau hadir mengikuti prosiding pendakwaan terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa.

Menurut Muhyiddin, siasatan itu berkaitan penganugerahan kepada kontraktor terpilih di bawah projek berkenaan yang didakwa oleh pihak tertentu berkemungkinan terdapat unsur tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan.

Muhyiddin berkata, SPRM memaklumkan beliau dipanggil bagi memberikan keterangan dan bukan sebagai suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

Sementara itu, Muhyiddin berharap Wan Saiful mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah.

“Saya rasa sedih kerana buat pertama kalinya Bersatu dibawa ke mahkamah. Saya berharap beliau (Wan Saiful) dapat perbicaraan yang adil dan mahkamah akan melakukan apa yang perlu.

“Saya juga menyeru supaya ahli-ahli parti Bersatu bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengugat ketenteraman awam. Kepemimpinan parti sudah mengambil tindakan sewajarnya mengikut saluran undang-undang,” katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan kes hari ini sebagai pendakwaan terpilih yang dilakukan secara terancang kerana setakat ini tiada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan parti politik di Malaysia.

Beliau menjelaskan, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti, justeru perlembagaan parti membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan  individu yang menyokong perjuangannya.

“Hari ini parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih. Menerima sumbangan dana politik menjadi satu kesalahan jenayah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya