PETALING JAYA: Sebanyak 5,000 peserta dijangka terlibat dalam larian amal ‘Melaka 10 KM NKF Charity Fun Run 2023’ yang akan diadakan pada 21 Mei nanti.
Larian anjuran Berryone Solution dengan melibatkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) akan diadakan di Dataran Multimedia Universiti Melaka (MMU).
Pengarah Urusan, Dave Koval berkata, terdapat dua kategori utama yang akan disediakan iaitu 10 kilometer (KM) dan dua KM bagi orang kelainan upaya (OKU).
Jelas beliau, NKF memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun bagi menyalurkan ubat-ubatan dan peralatan dialisis dengan sokongan yang tidak ditampung oleh hospital kerajaan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang.
“Program ini dapat dijadikan platform mengumpul dana bagi NKF serta beberapa pertubuhan lain sekitar negeri Melaka untuk keperluan ubat dan peralatan dialisis bagi menampung keperluan hospital kerajaan.
“Selain itu kita juga mahu mewujudkan masyarakat yang mempunyai kesedaran mengenai bahaya penyakit buah pinggang selain meningkatkan tahap kecergasan serta kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi menyeru orang ramai bersama membantu pertubuhan yang memerlukan bantuan terutama berkaitan penyakit buah pinggan.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada masyarakat di luar sana tanpa mengira lapisan masyarakat untuk turut sama menyertai acara larian ini.
“Melalui program larian amal ini kita juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama di samping meningkatkan kesedaran dalam komuniti sekitar tentang aktiviti yang sihat dan melakukan kerja-kerja amal,” katanya.
Yuran pendaftaran bagi menyertai acara ini ialah RM60 bagi 2,000 penyertaan awal manakala RM75 selepas tarikh tutup pendaftaran awal.
Bagi peserta OKU penyertaan percuma dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian sehingga 20 April ini menerusi muat turun aplikasi Vomos di Apple App Store dan Google Play Store. – UTUSAN










