ALOR GAJAH: Pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan khayal hingga membahayakan penumpang direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Dr. Teoh Shu Yee hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam.
Terdahulu, video memaparkan aksi pemanduan tidak selamat oleh suspek menjadi tular dan mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan pengangkutan awam, khususnya bas ekspres.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










