WASHINGTON: Syarikat Apple pada Isnin mengumumkan bahawa Tim Cook akan meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) gergasi teknologi itu pada September, menyerahkan jawatan tertinggi kepada veteran syarikat, John Ternus.
Pengumuman itu menjawab persoalan yang telah lama berlegar mengenai pengganti Cook yang berusia 65 tahun, yang berkata beliau akan menjadi pengerusi eksekutif lembaga pengarah selepas melepaskan jawatan CEO Apple.
“Ia merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk menjadi CEO Apple dan diberi kepercayaan untuk memimpin syarikat yang luar biasa ini,” kata Cook dalam satu kenyataan.
Cook menyertai Apple pada 1998, meningkat dalam hierarki dan membantu memacu kejayaan syarikat sebagai ketua pegawai operasi (COO) dengan menyelaraskan rantaian bekalan kompleks pengeluar iPhone itu.
Beliau menjadi CEO pada tahun 2011 selepas pengasas bersama dan pemimpin ikoniknya, Steve Jobs, berundur atas sebab kesihatan.
Cook telah memperluas rangkaian produk Apple dan meningkatkan nilai syarikat kepada kira-kira AS$4 trilion (RM15.82 trilion) berdasarkan nilai sahamnya.
Beliau juga merupakan arkitek strategi yang menjadikan China sebagai pangkalan pembuatan utama peranti Apple, dengan sebahagian besar iPhone dipasang oleh kontraktor Foxconn dan pembekal lain di kilang-kilang negara tersebut.
“Kepimpinan Tim (Cook) yang luar biasa dan tiada tandingan telah mengubah Apple menjadi syarikat terbaik di dunia,” kata pengerusi lembaga pengarah yang bakal berundur, Arthur Levinson, dalam kenyataan itu.
“Integriti dan nilai-nilainya meresap dalam setiap perkara yang dilakukan oleh Apple,” tambah kenyataan tersebut.
Levinson kini memegang jawatan pengerusi lembaga dalam peranan bukan eksekutif. Beliau akan menjadi pengarah bebas utama lembaga itu.
Produk popular Apple iaitu Mac, iPhone, Apple Watch dan iPad terus mempunyai pengikut setia selepas syarikat itu ditubuhkan pada 1 April 1976 di garaj pengasasnya, Jobs di Cupertino, California.
Pengganti Cook, Ternus telah menyertai pasukan reka bentuk produk Apple pada tahun 2001 dan menjadi naib presiden kanan kejuruteraan perkakasan sepanjang dua dekad berikutnya.
Apple mengiktiraf beliau memainkan peranan dalam pelbagai produk termasuk iPhone, iPad, Apple Watch dan komputer Mac. – AFP










