DUN Selangor: 19 kilang haram enggan patuh arahan

DUN Selangor: 19 kilang haram enggan patuh arahan

Kilang haram
NG Suee Lim menjawab pertanyaan berhubung tindakan terhadap kilang-kilang haram pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 2026, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 19 daripada 4,170 kilang tanpa kebenaran (KTK) atau kilang haram dikesan di seluruh Selangor enggan mematuhi garis panduan dalam proses pemutihan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Kesemua 19 kilang tersebut di kesan beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu berada di sekitar kawasan Perindustrian Pulau Indah dan Telok Gong di Pelabuhan Klang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tindakan perobohan kilang-kilang tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat menerusi operasi bersepadu bersama pihak berkuasa merentas agensi termasuk polis dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Operasi diadakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), polis, bomba dan sebagainya. Kerana kilang-kilang itu diberi notis terakhir dan menceroboh tanah kerajaan lebih 20 tahun.

“Penguatkuasaan itu akan dilakukan bagi menunjukkan ketegasan kerajaan negeri terhadap isu KTK. Operasi itu adalah manifestasi jelas kerajaan negeri dalam menegakkan undang-undang sebagaimana yang ditekankan dalam laporan direkodkan sebelum ini, sebanyak 4,170 kilang tanpa kebenaran dikesan di seluruh Selangor,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Abdul Rashid Asari (Bebas-Selat Klang) berhubung tindakan terhadap kewujudan kilang-kilang haram di seluruh negeri terutama di Pelabuhan Klang.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri melaksanakan Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Selangor 2025 – 2027.

Malah, Suee Lim pada Sidang DUN November 2024 mendedahkan terdapat 6,690 kilang dalam kategori KTK masih beroperasi di atas 5,325 lot tanah milik individu dan kerajaan.

Selain itu, beliau yang juga ADUN Sekinchan memaklumkan tiada kilang haram dikesan beroperasi di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman.

“(Bagaimanapun) Di sekitar Pelabuhan Klang, sebanyak 10 KTK dibanci dan direkodkan dalam inventori KTK. Daripada jumlah tersebut tujuh diputihkan melalui kelulusan Kebenaran Merancang.

“Bagi tiga KTK yang masih belum menjalani proses pemutihan kini dalam tindakan penguatkuasaan selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Tindakan pendakwaan di mahkamah serta pemotongan bekalan utiliti sekiranya pemilik atau pengusaha gagal mematuhi notis-notis dikeluarkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN