Semak, kawal kos ambil amah RM20,000

Semak, kawal kos ambil amah RM20,000

Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos pengambilan pembantu rumah masih membebankan iaitu sekitar RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang walaupun agensi pekerjaan tidak lagi berdepan masalah mendapatkan pekerja baharu sejak sempadan negara dibuka pada 1 April tahun lalu.

Gaji amah yang perlu dibayar sekitar RM1,500 hingga RM2,000 seorang susulan pelaksanaan gaji minimum Malaysia RM1,500 sejak tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, kos pengambilan pembantu rumah perlu dikawal dan disemak semula kerana setakat ini, ia hanya ditetapkan berdasarkan persetujuan antara agensi pekerjaan dan majikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, persetujuan itu bergantung kepada harga yang ditawarkan oleh agensi pekerjaan, bukan harga yang dikehendaki para majikan.

“Kalau kos pengambilan pembantu rumah sebelum ini dikatakan sekitar RM15,000, penetapan kos itu hanya sebagai panduan, apa yang dipersetujui, itu sahaja.

“Agensi pekerjaan dan majikan sememangnya mengikut peraturan pengambilan, tetapi kos RM15,000 tidak pernah kurang, ada yang sampai lebih RM20,000 tetapi ia bukan langgar undang-undang, ia sekadar persefahaman antara kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia akan mengkaji semula kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI) dan menetapkan kadar yang lebih munasabah.

Usaha rundingan kos pengambilan pekerja itu mendapat sokongan Engku Ahmad Fauzi dan meminta kerajaan supaya membuat keputusan yang baik untuk para majikan.

“Kita berharap rundingan tersebut tidak sia-sia, supaya kerajaan dapat membuat keputusan bagi mengurangkan kos pengambilan. Kita mengharapkan keputusan yang positif dari kerajaan,” katanya.

Selain itu, usaha merealisasi pelaksanaan Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan PDI di Malaysia yang dimeterai pada 1 April 2022 turut dibincangkan serta perlindungan dan kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia.

Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama juga dijangka membincangkan peranan agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara dalam proses pengambilan dan penempatan PDI serta pendigitalan proses pengambilan melalui Sistem Satu Saluran (OCS).

Sehingga bulan lalu, terdapat seramai 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu, seramai 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah dari Indonesia yang mewakili jumlah terbesar pekerja asing di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×