PETALING JAYA: Kira-kira 22,000 cawangan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara akan memulakan mesyuarat dan pemilihan bermula hari ini yang akan menjadi landasan kepada akar umbi untuk menyuarakan pendapat dan keluh kesah mereka terhadap apa yang berlaku dalam parti ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berkata, sudah menjadi resam parti itu untuk membangkitkan usul tertentu di peringkat cawangan yang akan dibawa ke peringkat bahagian sebelum diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, dalam konteks itulah ia menunjukkan UMNO mempunyai instrumen yang berkesan bagi menyuarakan pendapat akar umbi.
“Mesyuarat dan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian UMNO kali ini, harus digunakan sebaiknya untuk setiap ahli menyuarakan isi hati mereka.
“Sudah tentu setiap cawangan apabila bersidang, akan membangkitkan pelbagai usul yang akan dibawa ke peringkat bahagian,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO akan mengadakan mesyuarat dan pemilihan bagi peringkat cawangan dan sayap-sayapnya bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Mengulas perkara itu, Ainul berkata, dalam soal polisi UMNO yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini seperti keputusan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti, atau keputusan memecat dan menggantung beberapa jeneral perang UMNO, ada dua pendapat yang disuarakan di peringkat akar umbi.
“Ada yang bersetuju dan menganggap itu sebagai proses pembersihan dalaman parti, manakala ada sesetengah yang lain menganggap itu isyarat bahawa demokrasi tidak lagi subur dalam UMNO.
“Saya tidak nampak akar umbi takut menyuarakan isi hati selepas peristiwa pembersihan parti baru-baru ini. Jika mereka mahu menyatakan rasa tidak puas hati, lazimnya dibuat melalui saluran seperti di forum atau mesyuarat cawangan.
“Sebab, UMNO ada lebih tiga juta ahli, jadi semestinya ada pelbagai pendapat berbeza. Apa yang penting, semuanya haruslah untuk kebaikan, demi kelangsungan UMNO di masa depan,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli UMNO Bahagian Rembau yang dihubungi, Mohammad Baba berkata, dia menjangkakan wujud elemen bercampur baur dalam soal usul berkaitan kempen pembersihan parti baru-baru ini.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, ramai dalam kalangan ahli akar bersimpati terhadap pemimpin UMNO yang dipecat atau digantung namun bimbang membangkitkan usul mengenainya. – UTUSAN










