Ronald bakal dilantik Pengerusi PAC baharu?

Ronald bakal dilantik Pengerusi PAC baharu?

DARI kiri: Ronald Kiandee, Takiyuddin Hassan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dikatakan antara yang dicalonkan pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu dan jika pelantikan itu berlaku ia kali kedua Ahli Parlimen Beluran itu dilantik mengetuai PAC.

Utusan Malaysia difahamkan, Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah serta beberapa nama lain akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebelum atau pada pembukaan mesyuarat Parlimen penggal ke-15, bermula Isnin depan.

Namun terdapat beberapa nama pemimpin pembangkang Perikatan Nasional (PN) lain difahamkan turut dicalon sebagai Pengerusi PAC termasuk Ahli Parlimen Kota Bharu daripada Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik).

Pencalonan tersebut me­ngambil kira nama-nama ber­kenaan pernah menganggotai jawatankuasa PAC semasa pen­tadbiran kerajaan terdahulu.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Ronald dilantik sebagai Pengerusi PAC pada Ogos 2018 sebelum diganti oleh Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu, Ronald ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak menafikan atau mengiyakan cakap-cakap beliau akan kembali mempengerusi jawatankuasa itu pada pembukaan mesyua­rat Parlimen nanti.

Ronald berkata, senarai bakal pe­ngerusi sudah ada namun enggan mendedahkannya.

“Senarai sudah ada, tapi saya tidak boleh beritahu. Kami akan hantar senarai nama kepada Parlimen. PN sentiasa mempunyai calon-calon yang layak menyandang jawatan ini.

“Pembangkang akan me­ngenal pasti wakil-wakil rakyat berpotensi dilantik sebagai Pengerusi PAC nanti, jika itulah dasar yang dikekalkan oleh kerajaan sekarang iaitu PAC akan dipengerusikan pembangkang,” ka­tanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli ketika dihubungi berkata: “Setahu saya masih belum putuskan lagi dan saya tiada maklumat mengenai hal ini.”

Pada 7 Januari lalu, Majlis Presiden PH memutuskan untuk meneruskan dasar melantik Pengerusi PAC daripada pembangkang.

Pengerusi PAC yang terakhir sebelum Parlimen penggal ke-14 dibubar disandang oleh Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Wong Kah Woh yang menggantikan Noraini.

Di bawah seliaan Kah Woh, beliau pada tahun lalu berjaya menyelesaikan beberapa siasatan projek kerajaan terma­suk perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) yang gagal disiapkan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, banyak prosiding dan laporan penting PAC melibatkan projek-projek kerajaan yang menelan belanja besar masih tertangguh dan tidak selesai, termasuk pembangunan dan perolehan projek aplikasi MySejahtera yang memerlukan prosiding susulan.

Kah Woh berkata, walaupun ahli jawatankuasa dan pengerusi PAC bertukar, namun kesemua prosiding bagi projek-projek tertangguh yang membabitkan kewangan negara patut diteruskan kerana semuanya bersifat kepentingan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN