KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Khazanah Nasional Berhad akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara dalam usaha memelihara warisan negara untuk menarik penyertaan swasta bagi memulihkan bangunan-bangunan warisan bersejarah.
Katanya, usaha itu termasuk usaha pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara, dengan kerjasama syarikat ThinkCity.
“Syarikat ThinkCity juga akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil bahagian dalam usaha memaknakan semula kehidupan di pusat bandar melalui projek pengindahan lokasi tumpuan serta mengangkat potensi aset bersejarah dan kebudayaan.
“Sejumlah RM30 juta disediakan antaranya juga untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di Kuala Lumpur,” katanya di Parlimen
Dalam pada itu, Anwar berkata nilai pelaburan terkumpul Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dianggarkan mencecah 50 bilion ringgit pada tahun ini.
Antara tumpuan pelaburan termasuklah modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi.
Bagi melancarkan usaha itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.
Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan senarai di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, potongan cukai-cukai turut diperluas meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia. – UTUSAN










