Rayuan Tommy Thomas batal saman RM3j Sundra Rajoo dengar 13 Jun - Utusan Malaysia

Rayuan Tommy Thomas batal saman RM3j Sundra Rajoo dengar 13 Jun

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonannya membatalkan saman bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Prof. Datuk Dr. N. Sundra Rajoo berhubung penahanan dan pendakwaan salah dan menuntut ganti rugi lebih RM3 juta akan didengar Mahkamah Rayuan 13 Jun ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menangguhkan segala pemfailan dokumen berkaitan saman tersebut sementara menunggu keputusan rayuan terbabit.

Mahkamah turut menetapkan 4 Julai ini untuk pihak-pihak memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi keputusan rayuan tersebut.

Tarikh rayuan tersebut dimaklumkan oleh peguam Alan Andrian Gomez yang mewakili Tommy kepada Hakim Datuk Ahmad Bache pada prosiding pengurusan kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini. Turut serta pada prosiding tersebut ialah Peguam Persekutuan, Mohd. Ashraf Abd. Hamid dan peguam Surendra Ananth yang mewakili Sundra Rajoo.

Pada 21 Julai 2022, hakim sama menolak permohonan Tommy dan 12 defendan lain untuk membatalkan saman Sundra Rajoo atas alasan kes saman itu bukanlah kes yang sesuai dan wajar untuk dibatalkan pada peringkat ini kerana ia bukan kes yang mudah dan terdapat persoalan undang-undang ini perlu ditentukan melalui perbicaraan penuh.

Pada 15 Oktober 2021, Sundra Rajoo memfailkan saman tersebut terhadap Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah enam pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanannya dan dua Timbalan Pendakwa Raya dan seorang Peguam Persekutuan yang didakwa telah mendakwa Sundra Rajoo secara salah.

Menerusi pernyataan tuntutan, Sundra Rajoo selaku plaintif mendakwa beliau telah ditahan oleh Mohd. Adrian Zaiman Zainiar dan Md. Yusrin Md. Yusof di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari 8 malam pada 20 November 2018 hingga 5 petang, 21 November 2018 atas arahan Mohamad Shukri dan Tommy.

Plaintif mendakwa penahanannya itu telah melanggar undang-undang di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana berdasarkan kedudukan plaintif sebagai pengarah AIAC (ketika itu), beliau adalah seorang pegawai tinggi dalam tafsiran Peraturan-Peraturan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur 1996 (Peraturan-Peraturan AIAC) yang dibuat di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992.

Selain itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau juga direman dan disingkirkan secara paksa daripada jawatannya sebagai pengarah AIAC selain mendakwa akibat daripada penahanan itu, beliau dicemuh dan reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh ke atas semua jumlah yang diperintahkan, kos atau perintah lanjutan yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.