‘Pusaran angin kuat, saya sempat tarik tangan ibu’ - Utusan Malaysia

‘Pusaran angin kuat, saya sempat tarik tangan ibu’

KEADAAN bumbung rumah Siti Maryam Shaari yang tercabut akibat diterbangkan angin ribut di Kampung Setar, Yan. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Tindakan pantas seorang wanita berlari keluar daripada bilik air selepas terdengar deruman pusaran angin menghala ke rumah berjaya menyelamatkan ibunya daripada ditimpa kerangka kayu bumbung dan zink yang diterbangkan angin kuat, kelmarin.

Kata Siti Maryam Shaari, 43, ketika kejadian, ibunya, Halimah Ali, 86, sedang berehat di ruang tamu rumah mereka di Kampung Setar, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Saya baru nak mandi tetapi dikejutkan bunyi angin kuat yang luar biasa menyebabkan saya bergegas keluar kerana bimbang keselamatan ibu berseorangan di ruang tamu.

“Sebaik sahaja berjaya memegang tangan ibu dan membawanya ke dapur, tiba-tiba pusaran angin mengangkat bumbung ruang tamu rumah dan menerbangkannya,” kata­nya ketika ditemui di sini.

Siti Maryam berkata, dia hairan kerana ketika kejadian cuaca panas terik dan kejadian itu menyebabkan zink bumbung rumah ibunya terkopak sebelum diterbangkan angin manakala sebahagian kayu kerangka bumbung jatuh di ruang tamu.

“Saya kemudian menjerit memanggil anak saudara, Zakaria Mohd. Tahir, 36, yang ketika itu berada di dalam sebuah bilik untuk keluar menyelamatkan diri.

“Syukur kerana ibu dan anak saudara tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM6,000 apabila bumbung ruang tamu rumah rosak dan turut mengakibatkan sistem pendawaian elektrik seluruh rumah terganggu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, sebaik sahaja menerima makluman kejadian, empat anggotanya dikerah ke lokasi untuk memberi bantuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya