Terserah, saya tak campur urusan Hamzah - Muhyiddin

Terserah, saya tak campur urusan Hamzah – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin (duduk dua kanan) menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengambil peduli kehendak Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berhasrat menyertai sebuah parti besar sedia ada.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu perkara tersebut merupakan hak beliau dan tiada mana-mana pihak boleh mencampurinya.

“Itu terserah kepada dia, saya tak mahu campur urusan-urusan dia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Hamzah yang tidak menolak kemungkinan untuk menyertai sebuah parti politik sedia ada dan bukan menubuhkan parti baharu.

Semalam, Hamzah dilaporkan berkata, cadangan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu bukanlah jalan terbaik dalam landskap semasa danusaha memperkukuh dan melakukan ‘reset’ terhadap parti sedia ada dianggap lebih relevan untuk masa depan negara.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyerahkan kepimpinan tertinggi Pas untuk membuat keputusan segera berhubung jawatan Ketua Pembangkang baharu yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

“(Jawatan Ketua Pembangkang) Saya serah kepada pimpinan tertinggi PN untuk buat keputusan terutamanya Pas, saya sudah berikan komen sebelum ini dan saya tidak mahu komen lebih daripada itu,” katanya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN