Pulau Pinang sumbang RM2,000 kepada mangsa tragedi van Genting Highlands - Utusan Malaysia

Pulau Pinang sumbang RM2,000 kepada mangsa tragedi van Genting Highlands

CHOW Kon Yeow (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mah Kok Yean iaitu suami mendiang Foong Ah Lan yang merupakan salah seorang mangsa nahas van persiaran di Genting Highlands, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada semua waris lapan mangsa yang terbunuh dalam tragedi van persiaran terbabas ketika menuruni Genting Highlands, Rabu lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu bagi menyatakan tanda simpati kerajaan Pulau Pinang terhadap keluarga mangsa terlibat.

“Saya berharap semua urusan atau upacara pengkebumian yang dijadualkan juga berjalan lancar,” katanya ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga mendiang Foong Ah Lan, 67, salah seorang daripada mangsa nahas terbabit di Juru, hari ini.

Selain Ah Lan, tujuh lagi mangsa yang maut dalam tragedi itu setakat ini ialah pemandu van, Wong Choun Chiet, 49; Lee Moy, 67; Wong Ah Moi, 83; Ang Meng Hong, 62; Seow Mee Tin, 72; Chan Them Kong, 70, dan Chew Chong Beh, 73.

Sementara itu, tujuh lagi penumpang van tersebut dilaporkan masih dirawat di hospital dan ada dalam kalangan mereka yang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Dalam pada itu, salah seorang anak kepada Ah Lan iaitu Mah Chuo Yaik, 30, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan keluarga mereka selepas pemergian ibunya secara mengejut itu.

Katanya, mereka sekeluarga terutama ayah mereka, Mah Kok Yean, 69, masih bersedih dengan pemergian ibu mereka.

“”Saya bukan sahaja kehilangan ibu, malah bapa saudara (Chang Them Kong, 70) turut meninggal dunia dalam kemalangan itu.

“Isterinya pula iaitu kakak kepada ibu saya, Phang Gek Moy (68 tahun) ketika ini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur,” katanya yang menyifatkan mendiang ibunya seorang yang sentiasa ceria.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga mangsa berkata, pihaknya ada menerima permintaan daripada ahli keluarga mangsa untuk menyiasat kemalangan berkenaan.

Justeru katanya, DAP bersedia untuk menyediakan bantuan guaman kepada semua waris kepada mangsa kemalangan itu yang mahu menuntut keadilan.

“Yang penting, kita kena tahu punca sebenar kemalangan terlebih dahulu (termasuk jika ada unsur cuai dan sebagainya) sebelum tindakan yang sewajarnya boleh diambil.

“Dalam hal ini, saya juga telah meminta agar peguam, RSN Rayer untuk memantau kes ini selain berharap siasatan serta laporan berhubung kemalangan itu dapat disegerakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya