KUALA TERENGGANU: Kualiti perkhidmatan kesihatan untuk lebih 5,000 penduduk di Pulau Perhentian dan Pulau Redang kini bertambah baik dengan adanya dua bot ambulans baharu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, dua bot ambulans itu adalah sebagai tambahan untuk menggantikan bot sedia ada yang sudah agak daif dan uzur.
Menurutnya, sebelum ini, dua bot yang bersaiz kecil tidak sesuai digunakan untuk membawa pesakit meredah gelombang besar terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut.
“Oleh itu, kita terpaksa mendapatkan bantuan dari agensi penyelamat yang lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk melakukan pelayaran ihsan sekiranya terdapat kes-kes kecemasan sepanjang musim tengkujuh.
“Alhamdulillah, dengan adanya dua bot ambulans baharu ini, ia dapat digunakan sepanjang masa termasuk pada musim tengkujuh dengan ombak sederhana tinggi untuk memastikan penduduk di dua pulau itu mendapat rawatan kesihatan yang terbaik dan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Majlis penyerahan dua bot ambulans itu berlangsung di limbungan CTG Marine & Services, Seberang Takir, Kuala Nerus semalam.
Simbolik penyerahan bot ambulans untuk Klinik Kesihatan (KK) Pulau Perhentian disempurnakan Kasemani kepada Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr. Hafizuddin Awang manakala untuk KK Pulau Redang, ia diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Dr. Effah Leiylena Yaacob.
Mengulas lanjut, Dr. Kasemani berkata, bot yang lama masih boleh digunakan untuk perkhidmatan biasa seperti lawatan pesakit di rumah di sekitar pulau tersebut.
“Tambahan dua bot ambulans baharu itu pula akan memudahkan lagi penduduk di dua pulau peranginan tersebut mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih cepat di hospital besar yang berdekatan sekiranya memerlukan.
“Dengan kapasiti seramai 10 penumpang, kita berharap kualiti perkhidmatan kesihatan untuk penduduk di dua pulau pelancongan itu akan bertambah baik selepas ini,” katanya. – UTUSAN










